Bolehkah COVID-19 Tersebar Melalui Nyamuk? Ini Jawapannya

Baru-baru ini, tular persoalan mengenai bolehkah haiwan peliharaan dijangkiti wabak COVID-19 sehingga timbul kegusaran kepada pemilik-pemilik haiwan jikalau haiwan peliharaan mereka terkena virus tersebut.

Menurut Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC), setakat ini, tidak ada bukti yang menunjukkan haiwan peliharaan boleh menyebabkan merebaknya virus COVID-19.

Namun begitu, CDC menyarankan supaya pemilik yang dijangkiti wabak ini tidak membiarkan haiwan peliharaan mereka berinteraksi dengan orang ramai atau haiwan lain di luar rumah.

Terdapat pelbagai persoalan mengenai COVID-19 termasuklah bagaimana ia boleh tersebar. Malah, ada yang mendakwa virus ini boleh tersebar melalui nyamuk.

Di seluruh dunia, nyamuk adalah pembawa jangkitan utama kepada manusia. Penyakit seperti malaria, virus Zika, virus West Nile (WNV), ensefalitis kuda timur (EEE), chikungunya, demam kuning dan banyak lagi tersebar daripada nyamuk.

Tetapi persoalannya di sini, adakah COVID-19 tersenarai sebagai salah satu penyakit yang boleh disebarkan melalui nyamuk?

Elizabeth McGraw selaku Pengarah Pusat Dinamik Penyakit Berjangkit dan profesor di State University tampil menjawab persoalan ini di dalam satu video yang membahaskan kemungkinan COVID-19 disebarkan melalui nyamuk.

Beliau menjelaskan bahawa para saintis tidak menjangkakan bahawa COVID-19 akan bergerak antara individu melalui gigitan nyamuk. Masing-masing CDC dan WHO telah mengatakan bahawa tidak ada risiko virus itu dibawa oleh nyamuk dan mereka mempunyai alasan yang baik untuk mempercayai kenyataan itu adalah benar.

Jelas beliau lagi, penyakit COVID-19 adalah virus pernafasan yang boleh merebak melalui titisan seperti batuk, bersin, air liur atau air dari hidung daripada individu yang positif virus ini.

Setakat ini, masih belum ada bukti yang menunjukkan bahawa wabak yang telah meragut banyak nyawa ini boleh merebak melalui nyamuk.

Ini sudah semestinya merupakan berita baik, tapi ia tidak bermakna kita semua perlu mengabaikan langkah-langkah dalam mengekang penularan wabak COVID-19. Duduk rumah dan jaga diri, semua!

Penulis:

  • Nurul Izzah Faiz Mohd Sudin adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca artikel-artikel lain berkenaan penularan wabak COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca