Penulis: Muhammad Wa’iz dari Hello Doktor

“Boleh makan lagi ke roti ni?” bisik Farid dalam hatinya.

“Tarikh luput dah habis, tapi roti banyak lagi ni. Membazir kalau buang,” getus lagi hatinya memikirkan roti yang masih banyak.

Pasti ramai yang sering mengalami situasi seperti ini. Roti yang dibeli masih tidak termakan, tetapi tarikh luputnya telah tamat. Hendak dibuang sayang, hendak disimpan belum tentu selamat dimakan. Persoalannya, adakah makanan yang telah tamat tempoh selamat dimakan atau tidak? Ikuti jawapan di bawah.

Bagaimana tarikh luput makanan ditentukan?

Pernahkah anda menjumpai tanda seperti ‘Guna Sebelum’ atau ‘Baik Sebelum’ dan diikuti dengan catatan tarikh? Sebenarnya, setiap frasa berikut mempunyai perbezaan dan kebanyakan daripadanya adalah amaran berkenaan kualiti makanan, bukannya amaran keselamatan. Adakah anda tahu bagaimana syarikat pengeluar makanan menentukan tarikh tersebut? Ia bergantung kepada kepada beberapa perkara iaitu:

1. Bagaimana makanan tersebut dibungkus

2. Bagaimana ia disimpan

3. Suhu yang akan terdedah semasa dalam proses pengangkutan

4. Tempoh masa yang diperlukan untuk dinyahbeku

5. Suhu peti ais pengguna

Apakah maksud sebenar label makanan?

Ketahui maksud sebenar frasa-frasa berikut:

1. ‘Baik Sebelum’ (Best if used by/before)

Ini bermaksud bahawa kualiti makanan akan berada pada tahap terbaik sebelum tarikh yang dinyatakan. Biskut mungkin akan sedikit lemau selepas tarikh tersebut.

2. ‘Dijual Sebelum’ (Sell by)

Ini adalah tarikh yang ditetapkan oleh pengeluar kepada peruncit berkenaan tarikh produk tersebut perlu dikeluarkan daripada rak jualan. Ini adalah untuk memastikan agar pengguna mendapatkan produk dengan kualiti terbaik.

3. ‘Guna Sebelum’ (Use by)

Ini adalah tarikh terakhir jaminan kualiti terbaik sesuatu produk makanan tersebut. Ini juga bukanlah tarikh keselamatan sesuatu makanan melainkan jika ia digunakan ke atas susu formula bayi.

Tarikh luput tamat; boleh makan atau tidak?

Makanan yang tidak memerlukan penyejukan untuk tahan lama seperti bijirin, makanan kering dan makanan dalam tin masih boleh dimakan walaupun tarikhnya telah tamat. Tetapi bagi makanan berasaskan daging, tenusu dan telur, ia adalah tidak selamat.

Cara terbaik untuk mengenal pasti sekiranya sesuatu produk makanan itu masih selamat atau tidak adalah dengan menggunakan deria bau dan rasa anda. Kebiasaannya, makanan yang telah tamat tempoh akan mengandungi kulat, bakteria dan yis yang menyebabkannya memberikan isyarat amaran kepada deria bau dan rasa anda.

Makanan yang telah rosak akan mempunyai tekstur, warna, bau dan rasa yang berbeza. Berikut merupakan antara anggaran cadangan tempoh untuk sesuatu makanan selamat dimakan walaupun tarikh yang dinyatakan telah tamat:

1. Makanan dalam tin

Kebanyakan makanan dalam tin boleh bertahan antara satu hingga empat tahun. Sekiranya anda menyimpannya di dalam tempat yang sejuk dan gelap, tempoh luputnya boleh bertambah antara tiga hingga enam tahun lagi.

2. Makanan sejuk beku

Tempohnya lebih kurang sama sebagaimana makanan dalam tin kecuali daging.

3. Telur

Letakkan telur di dalam air. Sekiranya ia terapung, ini bermakna jumlah bakteria adalah tinggi dan tidak selamat dimakan. Bakteria telah menghasilkan gas di dalam telur yang menyebabkan telur tersebut terapung.

4. Pasta atau mi kering

Makanan kering seperti ini amat sukar untuk rosak kerana tidak terdapat kandungan air. Anda boleh menggunakannya selagi mana ia tidak mempunyai bau yang pelik.

5. Roti

Anda boleh menyimpannya lebih lama daripada tarikh yang tertera sekiranya anda menyimpannya di dalam peti sejuk. Selagi mana kulat kelihatan tidak tumbuh, ia masih selamat dimakan.

Untuk pengetahuan anda, penyakit bawaan makanan yang sering berlaku adalah disebabkan oleh pencemaran makanan, bukannya disebabkan oleh proses pereputan makanan secara semula jadi.

Bakteria seperti listeria lebih gemar dan berkembang biak dalam suhu yang lebih panas. Oleh itu, amat penting untuk anda menyimpan makanan yang mudah rosak pada suhu yang sesuai untuk mengelakkan pembiakan bakteria. Mungkin selepas ini, anda boleh mencuba menyimpan roti di dalam peti sejuk untuk mengekalkan ketahanannya daripada rosak.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda