Boleh Dengar Degup Jantung, Ini Tempat Paling ‘Tenang’ Di Dunia Sehingga Anda Boleh Jadi Gila

Semua orang mahukan ketenangan dan kedamaian terutama dalam zaman yang serba mencabar ini. Untuk mereka yang mahukan ketenangan, terdapat sebuah tempat yang paling sesuai untuk anda.

Walau bagaimanapun, anda tidak akan mahu untuk tinggal di sana buat suatu tempoh yang lama. Anda mesti tertanya-tanya mengapa kami berkata begitu?

Jawapannya terletak pada sebuah ruang khas iaitu anechoic chamber yang terletak di Minnesota, Amerika Syarikat. Anechoic chamber ini merupakan tempat yang paling senyap di dunia kerana ia merupakan sebuah ruang yang menyerap sepenuhnya gelombang bunyi dan elektromagnetik menjadikan tempat ini sangat senyap dan menakutkan.

Sebagai rekod, tempoh waktu yang paling lama seseorang individu boleh tinggal di situ adalah selama 45 minit sahaja. Atas sebab berkenaan, tempat ini tersenarai sebagai tempat paling senyap di dunia menurut Guinness Book of World Records.

Sekiranya anda berada di ruang ini, anda bukan sahaja boleh mendengar bunyi-bunyi yang dihasilkan oleh jantung anda tetapi turut boleh mendengar pelbagai jenis bunyi yang anda tidak pernah dengar sebelum ini termasuk bunyi di dalam perut anda.

Disebabkan itu, ruang ini telah direkodkan sebagai tempat paling sunyi dan tenang di dunia kerana pengukur bunyi menunjukkan nilai yang negatif sehingga boleh mencapai -9.4 desibel.

Tujuan utama ruang ini dicipta bukan untuk menyeksa manusia tetapi ianya digunakan oleh syarikat-syarikat besar untuk menguji tahap kebisingan bagi setiap produk mereka.

Harley Davidson juga pernah menguji motosikal mereka di bilik berkenaan. Selain daripada Harley Davidson, NASA juga menggunakan ruang ini untuk membantu para angkasawan menyesuaikan diri dengan kesunyian di ruang angkasa.

Dalam pada itu, Steven Orfield iaitu pengasas tempat tersebut berkata, “Bagaimana kita mengawal diri kita sendiri adalah melalui bunyi yang kita dengar semasa kita berjalan. Di ruang ini, anda tidak mempunyai isyarat bunyi tetapi kita mengambil isyarat bunyi yang membolehkan kita mengawal badan dan bergerak.”

Oleh itu, sekiranya anda mahukan ‘ketenangan diri’, ingatlah bahawa ia juga mampu untuk membuat anda berhalusinasi sekiranya anda tinggal terlalu lama dalam bilik berkenaan.

Artikel Lain Untuk Di Baca