Isu body-shaming (memalukan fizikal) bukanlah sesuatu yang dipandang ringan dalam kalangan masyarakat Malaysia, malah ia begitu serius kerana boleh mendorong ke arah kemurungan. Isu body-shaming ini bukan hanya terjadi di Malaysia tetapi turut terjadi di seluruh dunia. Apa itu body-shaming? Body-shaming merupakan sikap sesetengah individu yang mengkritik fizikal seseorang seperti warna kulit, saiz badan dan rupa paras mereka.
Selebriti Malaysia turut mengkritik perlakuan individu yang melakukan body-shaming terhadap individu lain, seperti apa yang terjadi beberapa bulan lepas apabila pelakon terkenal Fazura menyuarakan kekecewaan beliau terhadap sikap pelakon Faezah Elai yang dikatakan mempersendakan fizikal seorang wanita. Wanita tersebut merupakan wakil kepada Fazura pada satu majlis anugerah. Fazura mengatakan sikap segelintir selebriti tanah air yang menganggap body-shaming sebagai gurauan amat memalukan dan menegaskan perkara itu tidak lawak. Beliau turut menegaskan agar menghentikan body-shaming.

Selebriti lain seperti Dato’ Fazley Yaakob turut meluahkan kekecewaan beliau terhadap Dato’ Aliff Syukri yang seolah menghina salah seorang penonton di program realiti Gegar Vaganza malam semalam. Dato’ Fazley meluahkan rasa kekecewaannya itu melalui satu post di akaun Instagram milik beliau dengan mengatakan apa yang dilakukan oleh Dato’ Aliff Syukri di program realiti itu berbaur ‘racist’ dan memalukan.

Netizen turut menyuarakan pendapat mereka dan turut bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Dato’ Fazley Yaakob berkenaan perlakuan Dato’ Aliff Syukri di dalam program realiti tu sebagai ‘melampau’.
Body-shaming (memalukan fizikal) bukanlah sesuatu perkara yang boleh dianggap sebagai perkara biasa atau sebagai gurauan, mereka yang mengalami body-shaming ini amat berasa malu dan menjadi murung atas penghinaan yang dilemparkan terhadap mereka. Di luar negara mereka turut melakukan kempen ‘Stop body-shaming’ atau ‘ Say No to body-shaming’ kerana mereka mengambil serius akan perkara ini. Pakar psikologi turut menyatakan mereka yang sering memalukan orang lain atau mengkritik fizikal orang lain sebenarnya mereka mempunyai masalah keyakinan diri, mereka berasa dengan mengkritik fizikal orang lain itu dapat melindungi kelemahan diri mereka.
Pada pendapat penulis, kita tidak harus terobsesi dengan rupa paras sendiri atau rupa paras orang lain. Gemuk atau kurus, putih atau gelap hanyalah label, jadi jangan berasa rendah diri tentang penampilan fizikal anda. Ketahui nilai anda, dan anda akan berasa lebih bahagia.
“Say No To Body-Shaming.”