BMW Dirakam Melanggar Seorang Anggota RELA Depan Sekolah

BMW Langgar Anggota Rela

Sebuah kereta BMW telah dirakam cuba untuk melanggar seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang sedang mengawal lalu lintas di hadapan sebuah sekolah menengah di Kota Kemuning.

Mengikut anggota RELA terbabit, S Janagan, kejadian itu berlaku pada 5.20 petang Rabu, 5 Mei lalu.

Insiden tersebut berlaku semasa beliau sedang mengawal keadaan trafik di Jalan Anggerik Doritis 31/143 berdekatan sekolah itu.

Ketika itu, jalan tersebut telah bertukar menjadi jalan sehala pada waktu kemuncak atas arahan pihak sekolah demi keselamatan para pelajar.

Namun, video berdurasi 32 saat itu memaparkan pemandu BMW terbabit telah masuk jalan sehala tersebut dan enggan memusingkan kenderaan.

Apabila dihentikan oleh Janagan, pemandu kereta itu masih berkeras untuk meneruskan perjalanannya dengan melanggar anggota RELA itu sebelum meninggalkan lokasi.

Malah, boleh didengar menerusi video itu, suara kanak-kanak yang terkejut melihat insiden berkenaan.

“Dia (pemandu kereta) terlanggar kaki orang itu (anggota rela) dan oh my goodness (Oh Tuhanku),” kata kanak-kanak tersebut.

Berikutan kejadian ini, Janagan telahpun membuat laporan polis atas sebab pemandu BMW itu telah menghalang beliau dari melakukan tugasnya.

Mengikut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata pemandu terbabit telah membuat permohonan maaf setelah dipanggil untuk memberikan keterangan.

“Lelaki berusia 51 tahun yang memandu kereta BMW itu telah memohon maaf kepada anggota Rela tersebut.

Susulan itu, anggota Rela berkenaan mengambil keputusan menarik balik laporan polis yang dibuat,”kata Baharudin dalam satu kenyataan hari ini.

Sejurus itu, Janagan dikatakan telah menerima permohonan maaf tersebut dan telah menarik balik laporannya kerana tidak mahu memanjangkan perkara ini.

Tonton video penuh mengenai insiden tersebut di sini:

Anda boleh baca artikel-artikel berkaitan seperti:

Artikel Lain Untuk Di Baca