Blu Inc Media Tutup Operasi- Selamat Tinggal Majalah Jelita, Cosmopolitan Dan CLEO

Blu Inc Media Sdn Bhd, sebuah syarikat penerbitan ‘majalah glossy’ tempatan telah menghentikan operasinya sejak 30 April lalu.

Menurut kata Ketua Pengarah Eksekutif Datin Azliza Tajuddin dalam nota pengumuman kepada kakitangannya, penutupan operasi syarikat ini disebabkan oleh cabaran daripada krisis wabak COVID-19, masalah kerugian dan gangguan digital yang telah sekian lama membelenggu industri majalah.

Menurutnya, Lembaga Pengarah memutuskan menghentikan operasi bahagian cetak dan digital Blu Inc.

Pihak syarikat turut menzahirkan penghargaan kepada kesemua pekerja mereka atas perkhidmatan sebelum ini dan dikhabarkan hampir 200 kakitangan hilang pekerjaan mengikut laporan beberapa sumber media.

Sumber gambar: CLEO Malaysia

Blu Inc atau dikenali sebagai Jack Chia-MPH Group pada tahun 1974, telah menerajui industri penerbitan majalah ini selama empat dekad.

Akhirnya mereka terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada 20 majalah keluaran mereka seperti CLEO, Harper’s Bazaar, Jelita, Marie Claire dan lain-lain.

Sumber gambar: Gramedia Digital

Menerusi petikan akhbar Sinar Harian, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya mengulas bahawa situasi kritikal yang dihadapi oleh organisasi media sudah dijangka sebelum ini.

Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana pembaca dan pengiklan mula beralih kepada medium digital.

“Pengurangan iklan menyebabkan organisasi media menghadapi kekangan kewangan yang agak kritikal.

“Saya berpendapat Blu Inc sudah sampai ke tahap kritikal dan pasaran majalah di pasaran terbuka merosot mungkin pembaca sudah beralih ke online.” ujarnya lagi.

Artikel Lain Untuk Di Baca