‘Bloody Mary’, Hantu Yang Boleh Diseru

Legenda mengatakan bahawa syaitan atau penyihir boleh dipanggil melalui cermin. Caranya ialah dengan berdiri di hadapan cermin di dalam gelap dan menyeru nama ‘Bloody Mary’ sebanyak tiga kali berturut-turut.

Tiada sumber yang jelas untuk menerangkan kewujudan Bloody Mary ini. Namun, kisahnya telah sebati dalam masyarakat sejak berdekad lamanya. Bloody Mary juga dikatakan sebagai kisah seram kanak-kanak di mana ia menjadi pembunuh mereka.

Cerita Bloody Mary ini telah diwarisi oleh masyarakat secara turun temurun. Terdapat pelbagai versi yang mungkin kita tidak tahu sebenarnya ialah Bloody Mary. Antaranya ialah Mary Worth, Mary Worthington, Hell Mary, dan Black Agnes.

Kisah Bloody Mary yang paling umum ialah seorang penyihir bernama Mary Worth yang hidup lebih dari 100 tahun dan telah berkecimpung dalam dunia ilmu hitam namun ditangkap dan dihukum mati.

Versi moden Bloody Mary pula ialah tentang seorang wanita yang mengalami kemalangan ngeri dan meninggal dunia dengan wajah yang telah cedera teruk. Wanita itu muncul dan menampakkan dirinya di dalam cermin dengan wajahnya sewaktu dia mati.

Dalam sejarah dunia, seorang Ratu Inggeris telah diberi gelaran Bloody Mary. Beliau ialah Mary I atau Maria Tudor yang telah memegang pemerintahan pada zaman Tudor.

Beliau menganut agama Kristian Katolik sepanjang hidupnya dan telah membakar lebih kurang 300 penganut Kristian Protestan ketika beliau memerintah. Semenjak kejadian itu, beliau telah dikenali sebagai Bloody Mary.

Penulis

  • Nur Asharini Mohd Som adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca