Bitto UP10TION Disahkan Positif COVID-19: Agensi Keluarkan Kenyataan Rasmi

Terkini, salah seorang ahli daripada kumpulan idol K-Pop Korea Selatan UP10TION, Bitto disahkan positif COVID-19.

UP10TION adalah diantara artis yang bernaung di bawah agensi TOP MEDIA, termasuklah kumpulan TEEN TOP, 100PERCENT, MCND, dan artis solo Andy Lee serta pelakon Eric Mun.

TOP MEDIA telah memuat naik kenyataan rasmi di laman web rasmi mereka dan juga dikongsikan di akaun Twitter TOP MEDIA Official (@TOPmedia_Kr).

Terjemahan kenyataan tersebut adalah seperti berikut,

Hello, ini adalah TOP MEDIA.

Salah seorang artis kami, Bitto dari kumpulan UP10TION telah diuji positif COVID-19.

Berikutan aktiviti berjadual 29 November yang dijalankannya, beliau dimaklumkan bahawa beliau mempunyai kontak rapat dengan satu kes yang disyaki positif dan beliau telah diuji pada hari yang sama.

Diagnosis ujian telah disahkan pada pagi 30 November (hari ini).

Sehubungan dengan itu, kesemua artis dibawah naungan kami, staf, dan pekerja yang telah bertemu dan mempunyai kontak dengan Bitto telah menjalani ujian pengesanan wabak COVID-19. Kami akan mengambil langkah berkuarantin seperti yang diarahkan oleh pihak berkuasa.

Kesemua aktiviti yang telah dijadualkan melibatkan UP10TION telah dibatalkan, dan pihak kami akan berusaha sehabis baik untuk menjaga keberadaan para artis kami dan melakukan sanitasi untuk menghindari wabak COVID-19.

Pihak kami ingin memohon maaf kepada kesemua staf yang terlibat dalam penggambaran untuk beberapa rancangan melibatkan penglibatan UP10TION.

Dengan seluruh hati, kami meminta maaf sekali lagi kerana menimbulkan kerisauan kepada semua.

Terima kasih.

Dikhabarkan pada 28 dan 29 November lalu, UP10TION telah membuat persembahan di rancangan muzik ‘Music Core’ dan ‘Inkigayo’ untuk mempromosikan kemunculan semula mereka.

Mengulas isu tersebut, pihak ‘Inkigayo’ berkata, “Selepas mendengar khabar tentang diagnosis ujian yang dibuat oleh Bitto, kami memberitahu kesemua artis dan staf yang terlibat dengan serta merta. Kami juga telah mengawasi rakaman CCTV untuk memeriksa dan mengenalpasti individu-individu yang telah menjadi kontak rapat beliau (Bitto).”

Pada masa yang sama, pihak ‘Music Core’ juga mengulas bahawa mereka juga akan membuat pemeriksaan secara menyeluruh.

Berikutan dengan khabar yang mengejutkan ini, para peminat K-Pop dan peminat UP10TION khususnya telah memuat naik kata-kata semangat dan mendoakan agar keadaan Bitto kembali pulih di Twitter.

Kami mendoakan semoga Bitto segera pulih seperti biasa!

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca