Biru, Putih, Dan Hijau? Ini Maksud Warna Pada Penutup Botol Minuman Anda

Terdapat pelbagai jenis jenama, bentuk, warna dan bahan yang ada pada air mineral semula jadi, air mineral biasa dan air minuman yang di jual di pasaran. Air mineral ini membantu dalam mengekalkan kesihatan dan penghidratan yang baik terhadap manusia.

Kita sebagai pembeli atau “consumer” perlu tahu perbezaan dan bijak menilai mana yang lebih sesuai untuk dibeli dan diminum.

Mari kita lihat apakah yang membezakan air minuman ini dan bahan sebenar yang terkandung di setiap tegukan air.

Kalau anda perasan, air mineral dan minuman di Malaysia ini selalunya mempunyai botol dan penutup yang majoritinya berwarna hijau, biru dan putih. Anda perlu tahu bahawa warna-warna itu bukan mengikut tema syarikat dan mempunyai label dan identiti sendiri.

Ini adalah fakta dan informasi mengenai setiap label dan warna air minuman yang dijumpai.

1. Hijau = Air Mineral Semula Jadi (Natural Mineral Water)

Air mineral semula jadi ini adalah salah satu air mineral yang disukai ramai dan harganya juga adalah lebih mahal berbanding air minuman berpenutup biru dan putih.

Air ini diperolehi dan ditadah daripada bawah tanah di kawasan tertentu melalui mata air, gerekan, telaga dan jalan keluar yang lain.

Anda tidak perlu risau kerana sumber air ini perlu mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diambil, diproses dan dijual.

Ia adalah lebih selamat sihat berbanding air minuman yang lain. Cuma ada risiko daripada botol yang dibotolkan kerana toksik pada botol tersebut.

Air ini mempunyai kandungan mineral yang tinggi seperti magnesium, kalsium dan natrium. Sumber magnesium membantu menstabilkan tekanan darah, kandungan gula dan sistem saraf. Tetapi anda perlu mengambil dengan sukatan yang normal dan tidak berlebihan mahupun kurang daripada yang sepatutnya.

2. Putih = Air Minuman (Drinking Water)

Penutup berwarna putih ini adalah air minuman yang datang daripada sumber dan punca air seperti air paip, bekalan air awam, permukaan air (sungai, tasik atau kolam) dan juga air tanah (telaga atau mata air) kemudian disulingkan dan dituraskan untuk menghilangkan rasa, bau dan klorin.

Punca air ini membawa kepada harga yang lebih murah dan mudah untuk didapati daripada air minuman yang lain. Sumber air ini juga ini perlu mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu sebelum ditadah dan dijual.

Penambahan bahan kimia pada air minuman ini menggangu keaslian air tersebut. Kalau anda tahu membezakan, air minuman ini ada sedikit rasa payau berbanding air mineral semula jadi. Ada yang tidak boleh terima air ini kerana bau dan rasanya.

3. Biru = Air Mineral atau Air Mineral Semula Jadi (Mineral Water or Natural Mineral Water)

Antara air minuman yang popular dalam kalangan rakyat di Malaysia kerana harga, rasa dan mudah didapati. Walaupun namanya sama seperti air mineral yang berpenutup hijau, sumber, proses dan kandungan mineral adalah berbeza.

Punca air ini daripada air yang dipam naik melalui sumber air bawah tanah dan menjalani proses penyulingan sebelum dibotolkan dan dijual.

Kandungan mineral seperti magnesium, kalsium dan natrium adalah lebih sedikit dan berbeza berbanding botol penutup hijau. Harganya sedang-sedang sahaja, tidak terlalu murah seperti air minuman berpenutup putih dan tidak semahal air berpenutup hijau.

Kalau anda perasan, air berjenama ‘Evian’ adalah air minuman yang mempunyai harga yang tidak masuk dek akal serta sukar untuk didapati dan tidak dijual di sembarangan kedai runcit. Harganya boleh mencecah sebanyak RM10 atau lebih hanya untuk 500 mililiter sebotol.

Namun, apa yang membuatkan ianya berbeza dan tidak dijual sembarangan seperti air mineral yang lain?

‘Evian’ diambil daripada air mineral tulen di pergunungan Perancis yang dikelilingi gunung dan glasier. Ia diimport terus dari Perancis.

Ramai yang mengatakan air ‘Evian’ ini rasanya berlainan dari air mineral semula jadi yang biasa. Ada juga mengatakan rasa airnya sama seperti air Zam-Zam yang hanya boleh didapati di Masjid al-Haram di Makkah.

Air mineral semula jadi, air mineral mahupun air minuman biasa amat membantu untuk mengekalkan kesihatan badan kita. Banyak faedah boleh diperolehi apabila kita minum dalam kuantiti yang diperlukan.

Setiap 20-25 kilogram berat badan anda bersamaan 1 liter air perlu diminum pada setiap hari. Anda boleh memilih air minuman yang anda mahu tetapi perlu diambil dengan bijak dan tidak berlebihan mahupun terlalu sedikit.

Dalam keadaan yang berlaku di dunia kini, kita perlulah berjaga-jaga dan pandai menguruskan diri sendiri.

Penulis:

  • Nurinsyirah Affan Binti Mohamed Fannay adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk membaca lebih banyak artikel lain, klik pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca