Bimbang Dilanda Musibah, Penduduk Kampung Ini Tidak Dibenarkan Untuk Jual Nasi

Disebabkan pantang larang yang wujud sejak zaman dahulu, semua penduduk Penimbun, Karanggayam, Kebumen di Jawa Tengah, Indonesia tidak dibenarkan untuk menjual nasi di gerai mereka.

Memetik laporan Suara Jawa Tengah, pantang larang ini masih dipercayai oleh penduduk kampung tersebut dan mereka dikatakan akan terkena musibah jika menjual nasi.

Atas sebab itu, tidak ada satu pun penduduk di kampung ini yang cuba melanggar pantang larang berkenaan kerana bimbang ditimpa musibah.

Menurut legenda, seorang pengembara singgah di kampung itu dalam keadaan kebuluran. Beliau kemudiannya meminta nasi di setiap rumah tetapi penduduk Kampung Penimbun tidak mampu menghulurkan sebahagian makanan seperti nasi kepada pengembara tersebut kerana mereka juga kekurangan makanan.

Pengembara itu kemudiannya marah dan bersumpah bahawa malapetaka akan datang sekiranya ada penduduk yang menjual nasi di kampung itu pada suatu hari nanti. Semua yang melanggar pantang larang itu akan menerima musibah.

Atas sebab itu, penduduk kampung tidak dibenarkan untuk menjual nasi di gerai mereka sebaliknya wajib memberikan beras secara percuma kepada orang luar yang berkunjung ke kedai makan.

Walaupun penduduk kampung tidak dibenarkan untuk menjual nasi, mereka boleh menjual ketupat atau lontong kerana bahan-bahannya telah diproses.

Sehingga ke hari ini, semua penduduk Penimbun masih memegang kepercayaan ini dan turut disokong oleh ketua kampung. Menurut ketua kampung, dia sendiri tidak tahu pokok pangkal cerita tetapi seorang penduduk pernah melanggar pantang larang berkenaan. Peniaga itu jadi tidak siuman dan meninggal dunia.

Walaupun cerita sumpahan itu mungkin hanya satu kebetulan, ia cukup memberi impak kepada penduduk kampung itu untuk tidak menjual nasi. Apa pendapat anda?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan pantang larang, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca