Billy Milligan, Seorang Lelaki Yang Mempunyai 24 Personaliti Berbeza

Disorder Identity Dissociative (DID) merupakan salah satu gangguan mental di mana seseorang itu mempunyai sekurang-kurangnya dua personaliti yang berbeza. Setiap personaliti tersebut bukan sahaja mempunyai fikiran yang tersendiri, malah perasaan dan memori setiap personaliti itu adalah berbeza.

Gangguan ini kebiasaannya terjadi kepada mereka yang mempunyai sejarah hitam berkaitan kes penderaan sewaktu mereka kecil dahulu. Itulah yang dialami oleh Billy Milligan, seorang lelaki yang dikhabarkan mempunyai 24 personaliti berbeza.

Pada tahun 1978, Billy telah dibicarakan atas tuduhan merogol. Dia dipercayai telah merogol 3 orang wanita. Namun begitu, keadaannya yang dikatakan tidak siuman menyebabkan dia terlepas daripada tuduhan berikut.

Serangan pertama berlaku pada 14 Oktober 1977 di mana dia telah menculik seorang pelajar Ohio State University. Kejadian tersebut berlaku di tempat letak kereta kampus. Billy bukan sahaja melakukan serangan seksual ke atas wanita itu, malah dia juga memaksanya untuk menulis sekeping cek kepadanya. Setelah itu, Billy menunaikan cek tersebut di bank.

Billy bertindak melakukan serangan yang serupa pada 8 hari kemudian manakala serangan ketiga pula berlaku 4 hari selepas itu iaitu pada 26 Oktober. Salah seorang daripada mangsa Billy telah berjaya mengenal pasti wajahnya sehari selepas serangan terakhir. Bukan itu sahaja, cap jari Billy pada kereta mangsa telah menguatkan lagi tuduhan itu dan Billy akhirnya ditangkap.

Menurut seorang pegawai polis yang memberkas Billy, dia telah berbual dengan beberapa ‘orang’ yang berlainan ketika membawa suspek ke balai. Apa yang dimaksudkan adalah personaliti Billy telah bertukar-tukar ketika itu. Oleh sebab itu, penilaian psikiatri yang lebih lanjut telah dilakukan terhadap Billy. Pasukan penilaian telah mendapati bahawa Billy mempunyai 24 personaliti berbeza. Ini adalah antara personaliti yang paling asas yang wujud dalam diri Billy:

1. Billy Milligan: Merupakan personaliti asasnya.

2. Arthur: Seorang lelaki Inggeris yang pakar dalam bidang sains dan perubatan.

3. Ragen Vadascovinich: Personaliti ini dikatakan seorang yang pemarah dan gemarkan keganasan. Muncul apabila Billy dalam keadaan terdesak. Personaliti lain tidak menggemari Ragen dan dia tidak tahu apa-apa mengenai kejadian rogol.

4. Allen: Seorang penipu yang pakar dalam memanipulasi orang lain. Allen merupakan satu-satunya personaliti yang merokok.

5. Tommy: Seorang pakar elektronik yang pandai bermain alat muzik saksofon. Tommy juga merupakan seorang pelukis.

6. Danny: Takut kepada orang lain terutamanya lelaki.

7. David: Berusia 8 tahun dan dianggap sebagai ‘keeper of pain’. Apabila personaliti lain berasa sakit, David akan muncul.

8. Christene: Berusia 3 tahun. Apabila Billy didenda melakukan kesalahan di sekolah, personaliti ini akan muncul. Christene dipercayai mengalami disleksia tetapi dia telah diajar untuk membaca dan menulis oleh Arthur. Sangat rapat dengan Ragen.

9. Adalana: Satu-satunya personaliti yang lesbian. Gemar memasak dan membersihkan rumah. Dia juga gemar menulis puisi. Adalana telah mengaku melalukan jenayah rogol dan pengakuan yang dibuat ini tidak diketahui oleh personaliti lain.

Walaupun perkara ini disahkan oleh pakar psikiatri, pendakwa raya tetap ragu dengan penilaian ini. Mereka tidak mempercayai apa yang dialami oleh Billy sehingga melihat sendiri bagaimana personalitinya itu muncul dan pergi ketika dalam satu wawancara bersama Billy.

Menurut salah seorang pendakwa raya iaitu Bernard Yavirch, beberapa corak perbualan dengan loghat yang berbeza dapat dikesan apabila Billy bercakap. Malah, setiap personaliti juga dikhabarkan mempunyai cara duduk yang berlainan di atas kerusi.

Akhirnya, semua orang mencapai kata sepakat bahawa Billy sememangnya mempunyai gangguan personaliti. Keadaan Billy yang tidak siuman itu menyebabkan dia bebas daripada tuduhan merogol dan hakim telah mengarahkan agar dia dihantar ke pusat kesihatan mental Ohio.

Billy telah berulang kali didera secara seksual dan diseksa secara fizikal oleh bapa tirinya sewaktu dia kecil dahulu. Penderaan itu menyebabkan pelbagai personaliti ini muncul daripada diri Billy.

Pada tahun 1981, sebuah buku yang bertajuk ‘The Minds of Billy Milligan’ telah dikeluarkan hasil kerjasama Billy bersama seorang penulis iaitu Danial Keyes. Pada tahun 1988, doktor yang merawat Billy menyatakan bahawa Billy hampir pulih daripada gangguan kepelbagaian personaliti yang dihidapinya itu. Billy telah dibenarkan keluar dari hospital mental tersebut.

Walau bagaimanapun, dia masih lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar untuk beberapa tahun kemudian sehinggalah dia disahkan bebas daripada gangguan yang dialaminya itu pada tahun 1991. Namun begitu, personaliti-personaliti Billy dipercayai telah kembali ‘hidup’ apabila dia dituduh telah membuat satu ancaman terhadap seorang hakim ketika tinggal di County San Diego, California. Dia juga dikhabarkan telah difailkan bankrup.

Billy akhirnya memilih untuk menjalani hidupnya di Ohio. Tiada siapa yang tahu di mana dia tinggal melainkan salah seorang daripada kakaknya kerana Billy telah memutuskan hubungannya dengan orang lain termasuklah doktor yang merawatnya. Pada tahun 2014, Billy disahkan telah meninggal dunia. Terdapat beberapa filem yang diinspirasikan daripada kisah Billy ini iaitu filem Split (2017) dan Glass (2019).

Artikel Lain Untuk Di Baca