Bilik Tidur Berwarna Gelap VS Bilik Tidur Berwarna Cerah

Ramai orang berpendapat bahawa bilik tidur perlulah berwarna cerah supaya kelihatan tenang dan ceria. Kebanyakan pereka dalaman lebih gemar menasihati pelanggan supaya mengecat bilik tidur dengan warna yang lebih cerah dan bersesuaian dengan perabot yang dimiliki oleh pelanggan.

Bilik tidur berwarna gelap sebenarnya dapat memberikan beberapa impak lain kepada penghuninya. Tidak ramai orang akan mengecat bilik tidur mereka berwarna gelap kerana ia dikatakan tidak sesuai untuk warna bilik tidur.

Pertama sekali, bilik tidur berwarna gelap dapat memberikan suasana romantis kepada penghuninya. Bilik tidur berwarna gelap di samping perabot berwarna terang seperti merah atau putih mampu menaikkan suasana romantis.

Apabila bilik tidur berwarna gelap, ia boleh dikombinasikan dengan cahaya lilin sama ada lilin tiruan atau lilin beraroma yang mampu membangkitkan perasaan romantis kepada penghuni bilik.

Kedua, bilik tidur berwarna gelap tidak memerlukan banyak perabot dan kelihatan lebih minimalis berbanding bilik tidur berwarna cerah. Bilik tidur dengan dinding berwarna gelap dan perabot berwarna terang kelihatan lebih elegan dan menarik. Selain itu, bilik tidur berwarna gelap tidak memerlukan perabot yang banyak kerana akan kelihatan sempit dan tidak sesuai.

Seterusnya, bilik tidur berwarna gelap dapat memberikan suasana tenang dan memberikan kesan positif kepada penghuninya. Warna hitam kini banyak digunakan untuk menampilkan keunggulan diri, disiplin dan kekuatan. Kombinasi warna hitam dan putih mampu memberi ketenangan agar emosi lebih stabil dan positif untuk meneruskan kehidupan seharian.

Walaupun bilik berwarna hitam dapat memberikan beberapa kesan kepada penghuninya, kita tidak boleh mengabaikan bilik tidur yang berwarna cerah ataupun pastel. Bilik tidur berwarna cerah sebenarnya kelihatan lebih santai dan mampu menjadikan ruang yang sempit kelihatan lebih luas daripada keadaan asal.

Selain itu, bilik tidur berwarna cerah lebih ceria dan sesuai dengan keadaan kehidupan masyarakat kita. Namun, bilik tidur berwarna cerah juga mempunyai kekurangan kerana ia perlu dijaga dengan lebih rapi dan selalu dibersihkan. Cat yang berwarna cerah atau pastel sebenarnya lebih mahal daripada cat berwarna gelap di pasaran.

Oleh itu, kita perlulah memilih warna bilik tidur yang sesuai sama ada kita lebih selesa dengan bilik tidur berwarna gelap atau yang berwarna cerah. Setiap orang mempunyai pilihan yang berbeza namun ia boleh berubah mengikut keadaan. Setiap warna pada dinding bilik tidur mencerminkan peribadi seseorang.

Penulis

  • Noor Illia Mohd Noor adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca