Gara-gara akaun banknya dibekukan, pembedahan plastik bibir seorang bintang TikTok Pakistan harus dihentikan kerana tidak mampu membayar khidmat berkenaan.
Pakar bedah yang menjalankan prosedur berkenaan harus berhenti separuh jalan, menyebabkan bibir wanita itu ditinggalkan dalam keadaan tidak sempurna atau herot.
Tiktoker berkenaan, Hareem Shah berkongsi kejadian tersebut kepada 6.5 juta pengikutnya di platform berkenaan.
Jelasnya, dia pada waktu itu sedang menjalani pembedahan plastik tersebut di United Kingdom (UK) sebelum dia dihubungi Agensi Penyiasatan Persekutuan (FIA) negaranya yang memaklumkan bahawa dia kini disiasat berhubung dengan penggubahan wang haram dan akaun banknya dibekukan.
Menurut laporan Dawn, FIA telah melancarkan siasatan penggubahan wang haram terhadap Hareem Shah pada 12 Januari selepas dia memuat naik video di platform media sosial yang mendakwa dia melakukan perjalanan dari Pakistan ke UK dengan sejumlah besar wang tunai.
Dalam video itu, Hareem Shah boleh dilihat memegang dua timbunan pound British dan berkata ini adalah kali pertama dia membawa “jumlah berat” dari Pakistan ke London.

Dia juga mengkritik kerajaan Pakistan, mengatakan bahawa orang ramai menjadi sedih apabila mereka terpaksa menukar rupee Pakistan kepada euro atau dolar.
“Kerajaan telah berjanji untuk meningkatkan nilai mata wang, passport (Pakistan), tetapi mereka tidak berbuat apa-apa. Mereka hanya boleh bercakap,” katanya.
Menurut laman web Lembaga Hasil Persekutuan Pakistan, penumpang boleh membawa sebarang jumlah mata wang asing ke Pakistan tetapi “mengeluarkan mata wang asing hanya dibenarkan sehingga $10,000 tanpa syarat.”
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: