Penantian empat tahun penyanyi Aina Abdul untuk merangkul trofi Juara Lagu berakhir selepas dia mengungguli Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL 37) semalam dengan lagu ciptaannya sendiri iaitu Terus Hidup.
Kemenangan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Aina melayakkan dia membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai RM100,000 dan trofi.

Memetik laporan BH Online, lagu Terus Hidup dilihat terus membawa tuah kepada Aina apabila dia turut memenangi kategori Vokal Terbaik di mana penyanyi itu membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai RM12,000.
Gandingan SonaOne dan Joe Flizzow menggondol hadiah trofi dan wang tunai bernilai RM50,000 selepas mereka menduduki tempat kedua AJL 37 dengan lagu Satu Malam Di Temasek.
Beza hanya 2 markah dengan naib juara

Ketua juri AJL 37 iaitu Datuk Mokhzani Ismail kemudiannya mendedahkan menerusi laporan OhBulan! bahawa persaingan sengit wujud di antara Aina Abdul dan Joe Flizzow serta SonaOne untuk tempat pertama Juara Lagu.
Kesemua 12 finalis telah diadili oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Dato’ Acis, Altimet, Noryn Aziz, Jari, Ad Samad, Khir Rahman, Damian Mikhail, LY dan Mokhzani sebagai ketua juri.
Mokhzani menjelaskan bahawa lagu Terus Hidup bersaing rapat dengan Satu Malam Di Temasek tetapi persembahan vokal merupakan faktor yang memisahkan mereka sebagai juara dan naib juara.
“Apa yang boleh saya katakan malam ini kita dapat lihat dua lagu yang sangat dekat beza markah mereka iaitu Terus Hidup dan Satu Malam Di Temasek.
Apabila pemarkahan dibuat menerusi melodi, ia ada pada Terus Hidup manakala kreativiti pula ada pada Satu Malam Di Temasek. Namun, kedua-dua lagu mempunyai kekuatan pada lirik dan juga vokal.
Kami melihat kekuatan vokal dalam dua medium iaitu vokal dalam album dan juga vokal atas pentas AJL 37. Apabila Aina dinobatkan sebagai Vokal Terbaik, ia adalah antara faktor yang mengangkat lagu ini menjadi juara dengan kelebihan sebanyak dua markah.

Begitu juga dengan lagu yang meraih tempat ketiga (Alif Satar & The Locos- Anugerah Terindah). Kalau kita lihat ada tujuh buah lagu yang mempunyai genre pop dan balada, satu lagu R&B, dua hip-hop dan dua lagi etnik kreatif.
Jadi kami barisan juri cuba mencari adakah kelainan lain yang dapat diangkat dan kita lihat naskhah yang dibawakan oleh lagu Anugerah Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos jadi pilihan,” terangnya.
Barisan juri sebulat suara letak Aina sebagai juara

Mokhzani turut menjelaskan ketika sidang media AJL37 semalam bahawa lagu Korban nyanyian Ernie Zakri dan Kembali Terang dendangan Marsha turut dapat markah yang paling hampir dan berada di tempat keempat.
Beliau berkata susunan lagu Terus Hidup di AJL 37 yang dijayakan oleh Jenny Chin sangat ‘berbahaya’ dan ia mampu menjerat Aina tetapi penyanyi itu membawakannya dengan baik.
“Jika diteliti semula persembahan live Aina menerusi Terus Hidup berbading versi rakaman, ada sedikit perbezaan. Apa yang digarap oleh Jenny dalam susunan lagu itu bukan mudah.
Versi live Aina lebih dan teramat baik. Kalau disemak kembali bahagian akhir lagu yang dipersembahkan secara langsung, ada progression chord yang boleh ‘menjerat’ Aina.
Menariknya, bahagian ‘susah’ itu disampaikan Aina dengan baik. Jadi, juri sebulat suara meletakkan Aina sebagai juara AJL 37 tanpa menidakkan kekuatan lagu Satu Malam Di Temasek yang hadir dalam satu naskhah bersifat luar biasa.
Kami memang bersepakat dan selayaknya Aina jadi juara,” tambahnya.
Tahniah diucapkan kepada Aina dan semua pemenang AJL 37! Anda boleh tonton video persembahan Aina di bawah.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan Anugerah Juara Lagu, anda boleh klik pada pautan di bawah: