Berubah Karier Menjadi Ketua Sindiket Ketum, Bekas Penjawat Awam Ditangkap

Seorang bekas penjawat awam berusia 35 tahun telah ditangkap dalam serbuan polis di sekitar kawasan Johor Bahru Utara pada 22 Disember lalu atas dakwaan menjadi ketua sindiket memproses ketum.

Menurut Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Polis Johor, penahanan seorang pemandu lori dalam Ops bersepadu di Hentian Simpang Renggam pada 21 Disember telah memberikan maklumat kepada polis untuk menjalankan serbuan tersebut.

Pemandu lori yang berusia 42 tahun berkenaan dikatakan baru sahaja selesai menghantar bekalan ketum seberat 700 kilogram (kg) dari utara ke selatan tanah air ketika dia ditahan dalam Ops Bersepadu.

“Susulan penangkapan suspek itu, polis membuat dua serbuan di sekitar kawasan Johor Bahru Utara pada jam 2.45 pagi hingga 6 pagi Rabu lalu (22 Disember).

Suspek yang ditangkap berhubung kes sindiket. Kredit: STR/NUR AISYAH MAZALAN

Dalam serbuan itu, tiga lelaki dan seorang wanita tempatan ditahan. Salah seorang suspek lelaki yang ditahan merupakan ketua sindiket berusia 35 tahun juga bekas penjawat awam. Wanita yang ditahan merupakan isteri ketua sindiket yang bertindak sebagai akauntan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Isnin.

Polis kemudiannya menahan lapan lagi suspek dalam sebuah operasi susulan pada malam Ahad di sekitar Kulai dan Johor Bahru. Suspek-suspek yang ditangkap semuanya merupakan penjawat awam yang disyaki bersekongkol dengan sindiket atau positif ketum.

Sindiket yang aktif sejak tahun 2017 itu menggunakan modus operandi membungkus dan memproses ketum dari utara menggunakan lori buah-buahan di sebuah kilang di Kempas yang disewanya.

“Hasil serbuan, polis merampas 75.55 kg ketum, 90 liter cecair ketum dan peralatan memproses ketum dianggarkan keseluruhannya bernilai RM1,655. Daun dan air ketum yang dirampas ini boleh digunakan untuk 110 pengguna.

“Kesemua suspek ditahan reman bermula Ahad untuk siasatan lanjut di bawah seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Pihak polis merampas ketum dan cecair ketum serta peralatan memprosesnya. Sumber: Sinar Harian

Siasatan mendapati ketua sindiket tersebut selain mempunyai rekod lampau, juga pernah berkhidmat sebagai penjawat awam pada tahun 2011, namun diberhentikan kerja.

“Sindiket memperoleh keuntungan hasil menjual air dan daun ketum sehingga RM200,000 sebulan. Kegiatan ini menjadi popular sejak kebelakangan ini ekoran harga ketum tinggi di pasaran mencecah RM35 hingga RM80 sekilogram.

“Tidak hairanlah pekerja yang memasak daun ketum menerima gaji RM5,000 hingga RM10,000 sebulan. Malah kebanyakan memiliki aset seperti rumah, kereta mewah dan sebagainya yang diperoleh ketua sindiket secara tunai,” jelas beliau.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca