Bertuah Atau Bernasib Malang, Kenali Roy Sullivan Yang Disambar Petir Sebanyak 7 Kali

Bagi sesetengah orang, Roy Sullivan mungkin merupakan manusia paling bertuah atau mempunyai nasib yang teramat malang di dunia.

Dilahirkan di Greene County, Virginia pada tahun 1912, Roy yang membesar di kawasan Pergunungan Blue Ridge sudah terbiasa dengan kehidupan diselubungi alam sekitar.

Meskipun tidak pernah menghabiskan pengajiannya di sekolah tinggi, Roy yang arif mengenai ilmu alam sekitar telah berjaya mendapat pekerjaan sebagai seorang renjer taman di bawah Civilian Conservation Corps yang bertugas untuk membina Taman Negara Shenandoah.

Di antara tahun 1942 dan 1977, Roy sudah disambar petir sebanyak tujuh kali dalam hidupnya. Meskipun begitu, lelaki berkenaan hanya mengalami kecederaan dan masih hidup untuk menceritakan pengalamannya.

Insiden pertama

Insiden dimana Roy pertama kali disambar halilintar berlaku pada tahun 1942. Ketika itu, lelaki berkenaan sedang menjalankan tugasnya di sebuah menara api yang terletak di puncak Taman Negara Shenandoah.

Tidak lama selepas itu, ribut mula melanda dan halilintar berterusan memanah menara api sehingga terjadinya kebakaran. Dalam usaha untuk menyelamatkan dirinya, Roy telah terkena panahan petir hanya beberapa kaki dari menara.

Akibat daripada insiden itu, kaki kanan Roy melecur dan berlubang. Menurut lelaki itu, kejadian pertama ini merupakan insiden panahan petir paling teruk pernah dialami sepanjang hayatnya.

Insiden kedua

Pada bulan Julai 1969 iaitu 27 tahun selepas insiden panahan petir yang pertama, Roy sekali lagi berdepan kejadian cemas apabila dia disambar halilintar saat dia sedang memandu turun dari gunung.

Menurut Roy, petir berkenaan menyambarnya melalui tingkap keretanya yang terbuka. Insiden itu menyebabkan rambut Roy terbakar dan dia tidak sedarkan diri.

Apa yang menariknya, saat Roy tidak sedarkan diri, kenderaannya terus memandu tanpa arah tujuan sebelum akhirnya berhenti di pinggir sebuah tebing.

Insiden ketiga

Hanya setahun selepas kejadian kedua, Roy yang sedang berdiri di laman rumahnya sekali lagi menjadi mangsa amukan halilintar.

Namun begitu, panahan kali ini tidak terus mengenainya tetapi terkena pada sebuah transformer berdekatan.

Akibat daripada insiden itu, Roy tercampak beberapa meter dari tempat dia berdiri dan mengalami luka lecuran pada bahu kirinya.

Insiden empat dan lima

Kejadian panahan petir keempat dan kelima turut terjadi pada Roy saat dia sedang bertugas sebagai renjer taman.

Pada tahun 1972, Roy sedang bekerja di stesen renjer ketika ribut melanda. Sekali lagi, rambutnya terbakar akibat dipanah petir. Walau bagaimanapun, Roy berjaya memadamkan api kecil itu dengan meletakkan tuala lembap di atas kepalanya.

Pada tahun 1973, Roy yang sedang menjalankan tugasnya telah terlihat awan ribut semakin menghampiri kawasannya. Dek kerana serik dipanah, lelaki berkenaan cuba untuk melarikan diri namun, dia tetap disambar.

Usai kejadian kelima itu, Roy kini percaya ada sesuatu mengenai dirinya yang menyebabkan petir sering memanahnya.

“Saya tidak pernah menjadi seorang lelaki penakut namun, apabila saya mendengar bunyi kilat sekarang, saya menjadi agak gerun,” katanya.

Insiden keenam dan ketujuh

Pada tanggal 5 Jun 1976, Roy sekali lagi mendapati dirinya berada di dalam situasi menakutkan apabila dia cuba untuk melarikan diri daripada ribut. Walau bagaimanapun, dia gagal dan panahan kilat itu mencederakan buku lalinya.

Panahan halilintar terakhir yang diterima oleh Roy berlaku pada 25 Jun 1977 ketika dia sedang memancing di sebuah kolam. Petir yang menyambar dirinya telah menyebabkan rambut Roy terbakar dan kesan lecuran muncul pada dada dan perutnya.

Tidak cukup dengan itu, Roy juga terpaksa bergelut dengan seekor beruang yang cuba untuk merampas hasil pancingannya. Meskipun dalam kesakitan, Roy berjaya menghalau haiwan berkenaan.

Ajal maut sememangnya berada di tangan Tuhan kerana meskipun sudah disambar petir sebanyak tujuh kali, nyawa Roy masih panjang dan dia hidup sehingga mencecah usia 72 tahun.

Roy walau bagaimanapun, meningal dunia pada tanggal 28 September 1983 akibat luka tembakan yang dilakukan sendiri. Motif kejadian dipercayai berpunca daripada kemurungan melampau disebabkan hubungan cinta yang tidak berbalas.

Namun begitu, sehingga hari ini, nama Roy Sullivan masih terpahat di dalam Rekod Dunia Guinness sebagai lelaki paling banyak disambar petir di dunia.

Untuk membaca artikel lain berkaitan rekod dunia, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca