Bertuah Atau Bernasib Malang, Kenali Frane Selak Yang Terselamat Daripada 7 Kemalangan Ngeri

Dilabel sebagai manusia paling bertuah di dunia, kisah hidup Frane Selak tidak ubah seperti watak utama dalam filem. Meskipun berkali-kali ditimpa kemalangan yang hampir meragut nyawanya, Frane masih hidup dan kekal sihat sehingga ke hari ini.

Kami akan kongsikan kisah Frane menerusi artikel ini:

Kemalangan Frane ketika menaiki pengangkutan awam

Sumber: Iluminasi

Dilahirkan pada 14 Jun 1929 di Croatia, Frane ditimpa kemalangan pertama ketika usianya memasuki 33 tahun. Pada Januari 1962, Frane sedang menaiki kereta api dari Sarajevo ke Dubrovnik.

Walau bagaimanapun, kereta api tersebut tiba-tiba tergelincir dari landasan lalu terjunam ke dalam sungai yang berais. Insiden tersebut telah meragut 17 nyawa. Pesara muzik itu bagaimanapun hanya mengalami hipotermia, patah tangan dan lebam.

Setahun kemudian, Frane dilaporkan telah tercampak keluar ketika dalam penerbangan dari Zagreb ke Rijeka. Kemalangan itu berlaku akibat angin bertiup kencang dari arah kokpit.

Angin tersebut telah menerbangkan bahagian pintu pesawat. Insiden ini menyebabkan lelaki berkenaan terjatuh dari kapal terbang berkenaan. Tuah nampaknya menyebelahi Frane sekali lagi kerana dia mendarat di atas jerami besar.

Selepas beberapa hari tidak sedarkan diri di hospital, dia terjaga tetapi hanya cedera ringan. Walau bagaimanapun, 19 orang penumpang kapal terbang tersebut dilaporkan sudah pergi buat selama-lamanya.

Pada tahun 1966, Frane langsung tidak sangka bas yang dinaiki akan terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya. Bas tersebut telah merempuh kenderaan lain lalu terjunam jatuh ke dalam sungai.

Seramai empat orang penumpang dilaporkan meninggal dunia kerana lemas. Frane bagaimanapun berjaya berenang menyelamatkan diri tanpa mengalami sedikit pun luka dekat badannya.

Frane tidak mahu lagi menaiki apa-apa kenderaan

Sumber: Ripley’s

Selepas hampir meninggal dunia ketika menaiki kereta api, kapal terbang dan bas, Frane memutuskan untuk menaiki kereta sendiri dengan harapan dia akan selamat.

Pada tahun 1970, kereta Frane tiba-tiba terbakar. Lelaki itu terselamat kerana dia sempat melompat keluar sebelum tangki minyak dari kereta meledak.

Tiga tahun selepas itu, kereta Frane terbakar lagi kerana pam bahan api rosak sehingga petrol tersembur ke dalam enjin kenderaan tersebut. Api tersebut kemudiannya masuk melalui lubang udara.

Nasib baik, dia berjaya menyelamatkan diri daripada insiden berkenaan walaupun terpaksa mengorbankan sebahagian besar rambutnya. Selepas terselamat daripada semua kemalangan itu, Frane memutuskan untuk tidak lagi menaiki sebarang kenderaan.

Baginya, dia lebih selesa dan selamat jika hanya berjalan kaki. Namun, dia telah dilanggar oleh sebuah bas pada tahun 1995 ketika sedang berjalan kaki di Zagreb. Walaupun begitu, dia hanya mengalami kecederaan ringan.

Setahun kemudian, Frane ingin mengelak daripada sebuah trak besar yang semakin hampir dengan keretanya. Disebabkan tindakan itu, keretanya jatuh ke bawah gaung sedalam lebih 91 meter.

Sama seperti semua kemalangan di atas, nyawa Frane masih panjang kerana dia sempat melompat keluar dari kereta dan bergayut di atas pokok.

Frane adalah individu paling bertuah di dunia

Pada tahun 2003, nasib Frane bertukar menjadi orang paling beruntung di dunia apabila berjaya memenangi loteri bernilai £600,000 (RM 3,259,740).

Kemenangan tersebut telah mengubah kehidupannya dalam sekelip mata kerana dia menjadi orang yang sangat kaya di negaranya. Namun, lelaki itu memutuskan untuk menjual rumah mewahnya dan pulau peribadi pada tahun 2010.

Wang pulangan pula diberikan kepada rakan-rakan dan ahli keluarga terdekat. Frane berpindah semula ke rumah lamanya yang serba sederhana di Petrinja, Zagreb.

Ini kerana lelaki itu menganggap wang tidak mengubah apa-apa dan apa yang dia perlukan ketika ini ialah isterinya Katarina. Frane masih hidup sihat dan bahagia bersama isteri tercinta sehingga ke hari ini dalam kehidupan yang serba sederhana.

Penulis:

  • Nur Azlin Mohd Azda adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca