Bertengkar Dengan Penyokong, Neymar Dan Kontroversi Berpisah Tiada

Bintang Paris Saint-Germain, Neymar Jr. sekali lagi berdepan dengan kontroversi apabila dia dirakam bertengkar dengan salah seorang penyokong selepas pasukannya itu tewas 5-6 menerusi penentuan penalti di tangan Rennes pada aksi final Piala Perancis.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku ketika penyerang Brazil itu sedang menaiki anak tangga di Stade de France untuk menerima pingat, beberapa minit selepas pasukannya tewas dalam penentuan penalti. Seorang lelaki menghalakan telefon bimbit ke arahnya dan Neymar jelas kelihatan berang dengan perbuatan lelaki tersebut.

Pada mulanya, bekas bintang Barcelona itu bertindak menolak telefon bimbit lelaki berkenaan menggunakan tangan kanannya sebelum situasi itu bertukar kepada pertengkaran. Kedua-dua mereka dilihat bertikam lidah dan tangan Neymar kemudiannya hinggap di dagu lelaki berkenaan.

Pemain muda PSG yang berusia 19 tahun, Moussa Diaby yang ketika itu berada di belakang Neymar dilihat cuba sedaya upaya untuk meleraikan keadaan daripada menjadi lebih serius.

Beberapa sudut rakaman video daripada insiden tersebut menjadi tular apabila ia dimuat naik di media sosial seperti Twitter dan Snapchat.

Malah, rakaman menerusi telefon bimbit lelaki yang dipercayai ditolak Neymar itu turut dimuat naik dengan catatan, “Neymar yang memberikan saya kentang.” (Slanga warga Eropah untuk tumbukan).

Insiden yang berlaku kurang 1 meter daripada seorang kanak-kanak yang berdiri di belakang lelaki itu telah mengundang banyak kecaman dan kritikan daripada semua pihak.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca