Bersyukurlah Wanita Di Malaysia, Setelah 40 Tahun Barulah Wanita Di Iran Dapat Tonton Bola Sepak Di Stadium

Setelah 40 tahun, akhirnya wanita di Iran kembali dibenarkan menonton perlawanan bola sepak di stadium. Kebebasan ini akhirnya berlaku selepas tekanan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mengancam untuk menggantung Iran daripada bola sepak antarabangsa sekiranya pengharaman itu diteruskan.

Sejurus selepas Revolusi Iran pada 1979, Iran mengharamkan wanita daripada menonton acara sukan membabitkan lelaki, kecuali melibatkan kumpulan kecil pada acara tertentu.

Perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 di antara Iran dan Kemboja adalah perlawanan pertama yang menyaksikan wanita Iran kembali dibenarkan menonton perlawanan bola sepak di stadium. Dilaporkan, jualan tiket blok awal sebanyak 3,500 telah habis terjual dalam masa sejam dan terpaksa ditambah.

Salah seorang wanita yang berjaya mendapatkan tiket iaitu Raha Poorbakhsh berkata, “Saya masih tak percaya perkara ini akan berlaku kerana selama bekerja dalam bidang ini, saya hanya menonton perlawanan di kaca televisyen, sekarang saya boleh menontonnya di depan mata.”

Namun, beliau sedikit terkilan kerana ramai lagi wanita Iran yang gagal mendapatkan tiket akibat sambutan yang hangat terhadap perlawanan tersebut.

Menerusi rakaman di media sosial, golongan wanita di Iran tiba di stadium dua jam lebih awal serta turut mengibar bendera dan meniup ‘vuvuzela’. Walau bagaimanapun, tiada kepastian sama ada perkara ini akan menjadi satu kebiasaan di Iran selepas ini.

Pada Selasa, kumpulan wanita di Iran telah melancarkan kempen di Twitter dengan hashtag #WakeUpFIFA bagi mendesak lebih ramai wanita dibenarkan untuk menonton perlawanan di antara Iran dan Kemboja.

Keputusan membenarkan wanita menonton bola sepak di stadium buat pertama kali ternyata memberikan suntikan tambahan untuk pasukan bola sepak Iran. Mereka menewaskan pasukan Kemboja dengan jumlah jaringan yang agak besar iaitu 14-0.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca