Bermula Daripada Kejadian Tersandung Batu, Ini Kisah Di Sebalik Pembinaan ‘Ideal Palace’

Ferdinand Cheval, seorang posmen telah tersandung batu dalam perjalanannya untuk membuat penghantaran surat. Akibat terpesona dengan rupa pelik batu tersebut, Cheval menjadikannya sebagai inspirasi untuk pembinaan Le Palais idéal. Istana ini terletak di Hauterives, Perancis.

Sebagai seorang posmen, laluan yang digunakan oleh Cheval untuk membuat penghantaran surat adalah lebih kurang 29 kilometer. Setiap hari, Cheval akan mengutip batu-batu unik yang ditemui dalam perjalanan balik ke rumah dan memasukkannya ke dalam poket.

Cheval kemudiannya menggunakan bakul untuk mengutip batu-batu tersebut kerana isteri Cheval sudah penat membaiki poket seluar Cheval setiap hari. Apabila pembinaan tersebut memerlukan penggunaan batu yang lebih besar, Cheval akhirnya menggunakan kereta sorong untuk membawa batu-batu yang terlampau berat untuk diangkat.

Batu-batu unik itu kemudiannya digunakan untuk membina apa yang kini dikenali sebagai Le Palais idéal (Ideal Palace). Istana ini mula dibina pada tahun 1879 dan siap dibina pada tahun 1912.

Walaupun Cheval kerap menerima cemuhan daripada jiran-jirannya dan dilihat sebagai seorang yang aneh, Cheval tetap mengutip batu-batu unik setiap hari tanpa gagal selama 33 tahun dan membina Le Palais idéal bertemankan lampu minyak setiap malam di rumahnya. Istana itu dibina tanpa bantuan orang lain.

Selama 20 tahun pertama, dinding luar dan arca luar bangunan itu dibina menggunakan kapur dan simen. Le Palais idéal merupakan hasil gabungan daripada gaya seni bina yang berlainan dan mengambil inspirasi daripada pelbagai agama termasuk Kristian dan Hinduisme.

Istana yang dibina oleh Cheval telah menerima pengiktirafan daripada individu terkenal seperti pengasas surealisme André Breton, pelukis Sepanyol Pablo Picasso, artis Jerman Max Ernst dan penulis Amerika, Anaïs Nin.

Bagi Cheval, dia cuma menghabiskan apa yang telah dimulakan oleh alam semula jadi. Tambahnya, “Saya berfikir kepada diri saya sendiri. Kalau alam semula jadi telah membantu saya dengan menyediakan arca untuk bangunan tersebut, saya cuma perlu menambah batu dan seni bina sahaja.”

Sumber: Bored Panda

Ideal Palace masih tidak mereput walaupun bangunan ini telah dibina lebih daripada 100 tahun lepas. Konsert besar-besaran dan pameran seni kerap diadakan di dalam istana tersebut.

Kebanyakan figura dan haiwan di bahagian luar Ideal Palace diinspirasikan daripada gambar-gambar di poskad dan majalah yang dihantar oleh Cheval. Pada tahun 1969, Ideal Palace menjadi mercu tanda yang dilindungi di Perancis.

Setelah menghabiskan masa selama 33 tahun untuk membina Ideal Castle, Cheval mahu dikebumikan di Ideal Palace. Namun, berita buruk buat Cheval kerana pada masa itu pihak berkuasa Perancis tidak membenarkan perkara tersebut untuk menjadi kenyataan. Disebabkan itu, Cheval menghabiskan lapan tahun lagi untuk membina makamnya sendiri di tapak perkuburan Hauterives.

Kesimpulannya, tiada apa yang mustahil apabila seseorang itu mempunyai impian mereka tersendiri dan mahu merealisasikannya. Walaupun impian itu agak mustahil untuk dicapai, percayalah, usaha tidak akan mengkhianati hasilnya.

Artikel Lain Untuk Di Baca