Pengeluar produk roti Gardenia di Semenanjung Malaysia, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd mengesahkan beberapa produk keluarannya akan dijual pada harga baharu bermula 1 September ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Gardenia Bekeries (KL), Koh Chin Huat berkata, ia susulan pengemaskinian harga terhadap 53 jenis produknya.
Perubahan harga itu membabitkan Gardenia Original Classic daripada RM2.80 kepada RM3 manakala Gardenia Wholemeal daripada RM3.60 kepada RM4.
Rangkaian Gardenia Toast’em pula daripada RM5 kepada RM5.50, Gardenia Twiggies daripada RM1.80 kepada RM2.
Gardenia Waffles daripada RM1.40 kepada RM1.50, manakala Roti Krim Gardenia daripada RM1 kepada RM1.10.
“Kami telah sedaya upaya mengekalkan harga jualan sebelum ini, tetapi disebabkan harga bahan mentah seperti tepung gandum dan lemak sayuran yang meningkat secara berterusan, menyebabkan perubahan harga perlu dilaksanakan.
Kami akan sentiasa komited untuk mengekalkan kualiti produk di tahap yang optimum untuk kepuasan semua pelanggan dan pengguna kami,” katanya menerusi satu surat.
Gardenia menjelaskan kenaikan itu kerana pihaknya seperti perniagaan lain, berhadapan cabaran pasca COVID-19 termasuk pematuhan kepada keperluan keselamatan kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM).
Selain itu, bencana banjir melanda Shah Alam pada Disember tahun lalu serta krisis rantaian bekalan global dan pelaksanaan gaji minimum berkuat kuasa 1 Mei lalu memberikan kesan ketara kepada kos operasi.
Gardenia juga berkata, pihaknya akan sentiasa berusaha meningkatkan produktiviti dan kecekapan, serta memastikan bekalan optimum dan harga berpatutan untuk semua produk.
Sebelum ini, Gardenia sudah menaikkan harganya pada 1 Disember 2021 membabitkan kenaikan 30 sen untuk Original Classic 400g dan 45 sen untuk Original Classic Jumbo 600g.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: