Benarlah kata orang yang bahaya itu ada di mana-mana sahaja. Seorang lelaki telah mengalami keretakan di bahagian leher sewaktu sedang bermain gelongsor air.
Lelaki yang dikenali sebagai David Briffaut itu sedang bercuti bersama teman wanitanya iaitu Penny Bristow di Sepanyol. Ketika berada di sana, mereka berkunjung ke sebuah taman tema iaitu Aqualandia.
Pasangan tersebut dipercayai berlumba dengan rakan mereka di dalam gelongsor air yang dipanggil Splash.
Keseronokan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila kepala David tiba-tiba meluncur ke depan sewaktu dia hampir tiba di penghujung gelongsor.
Sejurus selepas insiden itu, David pengsan buat seketika. Tidak lama selepas itu, dia akhirnya sedarkan diri namun dia memberitahu bahawa kakinya seolah-olah tiada. Dia langsung tidak dapat rasa kewujudan kakinya itu.
David segera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Dia kemudiannya dimasukkan ke unit rawatan rapi. Kecederaan yang dialami David menyebabkannya terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
Doktor juga memaklumkan bahawa tulang belakang pada lehernya yang patah itu mungkin akan menyebabkan David lumpuh dari dada ke bawah seumur hidup.
Rakaman ngeri itu turut dikongsikan oleh keluarnya dengan harapan agar siasatan lanjut dilakukan terhadap taman tema itu.
Selepas ‘mimpi’ ngeri yang menimpa anak mereka itu, keluarga David ada berkunjung ke lokasi kejadian. Mereka sangat terkejut apabila mendapati ia masih dibuka kepada orang ramai seolah-olah tiada apa yang berlaku.