Berkeras Tidak Mahu Pindah, Rumah Lelaki Ini Kini Jadi Seperti ‘Up’ Dalam Dunia Realiti

Untuk sebuah negara kecil seperti Singapura, konsep perumahan pencakar langit sangat sesuai untuk menampung kepadatan penduduknya.

Atas sebab itu, situasi tersebut juga adakalanya memaksa pemaju untuk mengambil sebahagian bidang tanah milik penduduk asal sekiranya ruang untuk membina bangunan perumahan mereka tidak cukup.

Sebagai pertukaran untuk tanah tersebut, mereka akan memberikan pampasan wang tunai kepada pemilik asal untuk membeli rumah di kawasan baharu.

Walaupun begitu, tahukah anda akan kisah dua orang penduduk Singapura yang berdegil tidak mahu menjual kawasan rumah teres mereka walaupun menerima tawaran nilai pampasan yang tinggi?

Rumah pusaka ibu bapa Encik Goh

Sekiranya anda pernah menonton Up, ia mengisahkan bagaimana seorang lelaki tua bernama Carl tinggal di sebuah rumah kecil yang dikelilingi bangunan pencakar langit.

Walau bagaimanapun, Carl tidak mahu menjual rumah tersebut kerana ia dipenuhi nostalgia bersama isterinya walaupun ditawarkan pampasan lumayan daripada pihak pemaju.

Sama seperti kisah dalam filem animasi berkenaan, seorang lelaki bernama Goh berkeras tidak mahu menjual rumah teresnya kepada pemaju kondominium Noma di bawah syarikat Macly Group.

Walaupun menerima tawaran nilai pampasan tinggi, Encik Goh tetap akan tidak menjual rumah teresnya kepada pemaju kondominium berkenaan.

“Mendiang ibu saya yang membeli rumah ini. Jadi, saya akan terus menjaga rumah ini bersama kakak sampai ke akhir hayat kami,” ujar lelaki berusia 60 tahun itu ketika ditemu ramah wartawan akhbar Mandarin tempatan.

Sumber: 99.co

Ini bukan kali pertama Encik Goh telah dilamar oleh pihak pemaju perumahan

Encik Goh yang bekerja sebagai seorang peniaga kecil ini berkata bahawa ini bukan kali pertama dia dilamar oleh pihak pemaju perumahan untuk menjual rumah teresnya.

“Sebelum ini, saya ada dua buah rumah. Saya telah jual rumah di Lorong 20 Geylang kepada pihak pemaju kondominium La Brisa 10 tahun lalu,

Walau bagaimanapun, saya tidak akan jual rumah pusaka ini kerana ia milik saya dan kakak. Selain itu, ia amat susah untuk menemui rumah teres di Singapura pada masa ini.

Atas sebab itu, saya percaya ia merupakan sesuatu sangat berharga dan tidak boleh dijual sampai bila-bila walaupun ditawarkan nilai pampasan yang tinggi,” jelasnya.

Rumah ibadat halang pembinaan kondominium Noma

Sumber: 99.co

Bukan Encik Goh sahaja yang tidak mahu menjual rumahnya, terdapat seorang pemilik rumah ibadat Buddha di kawasan tersebut yang enggan menjual tanahnya kepada pemaju kondominium Noma.

Penjaga rumah ibadat berkenaan menjelaskan bahawa bangunan tersebut hanya terbuka kepada ahli keluarga dan kenalan yang rapat dengan pemilik sahaja.

Walaupun begitu, pemilik tidak menjelaskan sebab kenapa dia tidak mahu menjual rumah tersebut kepada pihak pemaju kondominium Noma.

Untuk pengetahuan anda, rumah ibadat tersebut akan berada di dalam kawasan kondominium Noma. Rumah Encik Goh pula akan bersebelahan dengan kondominium tersebut dan tersepit dengan satu lagi bangunan di sebelahnya.

“Saya akan terus tinggal di sini sambil menjaga laman bunga-bungaan yang sudah saya tanam sejak sekian lamanya. Setiap pagi, saya akan bangun awal dan bersantai di laman sambil melihat kawasan bandar Singapura. Kicau-kicau burung saya juga boleh meningkatkan lagi aroma ketenangan di awal pagi,” ujar Encik Goh.

Sekiranya berada di tempat Encik Goh, adakah anda akan jual rumah tersebut kepada pemaju kondominium atau sebaliknya?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca