Berkeras Mahu Kebumi Ikut Adat, Waris Mangsa COVID-19 Ini Bertindak Rampas Dan Buang Peti Jenazah

Sebelum ini, sudah beberapa kali kita dengar tentang kejadian di Indonesia di mana waris kepada mangsa COVID-19 yang meninggal dunia menimbulkan kekecohan gara-gara mahu jenazah keluarga mereka dikebumikan mengikut adat dan tradisi masing-masing.

Mengikut prosedur, jasad dan keranda mereka yang dijangkiti COVID-19 akan dibalut dengan menggunakan plastik manakala pekerja yang menguruskan pengebumian perlu memakai pakaian perlindungan diri (PPE) termasuklah sarung tangan, pelitup muka dan juga baju khas. Segelintir waris kepada mangsa COVID-19 tidak dapat menerima prosedur yang telah ditetapkan dan berkeas mahu mengebumikan jenazah keluarga mereka seperti biasa.

Baru-baru ini, berlaku satu lagi kejadian di mana penduduk bertindak merampas peti jenazah pesakit COVID-19 daripada petugas barisan hadapan.

Kejadian sebegini disifatkan semakin keterlaluan di saat republik itu merekodkan lebih 86,000 kes di seluruh negara (setakat 20 Julai 2020).

Dalam kejadian yang berlaku di Surabaya itu, waris kepada seorang pesakit COVID-19 yang meninggal dunia bertindak agresif apabila merampas peti dan mengeluarkan jenazah untuk dikebumikan tanpa mengikut prosedur yang sepatutnya.

Situasi itu menimbulkan amarah dan rasa kecewa pihak berkuasa kesihatan yang mahu polis bertindak segera menahan individu yang terlibat dalam insiden di Kabupaten Pasuruan kerana perbuatan tersebut sekali gus meningkatkan lagi risiko penularan wabak berkenaan.

“Kami berharap masyarakat ada kesedaran tinggi mengenai risiko virus ini. Hasil ujian swab menunjukkan pesakit positif COVID-19,” kata jurucakap pihak berkuasa kesihatan iaitu Anang Saiful Wijaya.

Berdasarkan laporan, pesakit berusia 29 tahun itu meninggal dunia ketika dirawat di hospital sebelum dibawa ke Desa Rowogempol untuk solat jenazah di masjid.

Semasa upacara pengebumian berlangsung, waris keluarga bertindak merampas peti jenazah dan tidak mengizinkan mangsa dikebumikan mengikut prosedur pengebumian COVID-19.

Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca