Berkelambu Demi Capaian Internet, Pelajar Ini Buat ‘Presentation’ Dalam Hutan

Kalau sebelum ini kita dikejutkan dengan seorang pelajar di Sabah membina pondok di atas pokok demi mendapat capaian internet, kali ini giliran seorang pelajar di Sarawak pula yang menjadi tumpuan.

Seorang pelajar tahun akhir dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dikenali sebagai Rose ED terpaksa berkampung di dalam hutan demi mendapatkan capaian internet bagi melakukan presentation berkumpulan secara atas talian.

Menerusi posting di laman Facebooknya, gadis yang berasal dari daerah Pakan, Sarawak itu menggunakan kelambu bagi menghalang gigitan nyamuk sebelum membuat persiapan untuk presentation tersebut.

BERKELAMBU DI DALAM HUTAN 😍Setelah melihat video viral budak Sabah haritu, harini sy trfikir mau guna idea beliau…

Posted by Rose ED on Tuesday, 23 June 2020

“Hari ini saya terpaksa bersedia awal untuk persiapan diri sendiri sebelum presentation bermula tadi.

“Lokasi ini adalah dikawasan hutan (babas) tempat kami menoreh getah,” tulisnya.

Menurut Rose, idea ini tercetus selepas tularnya kisah Veveonah Mosibin, penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah untuk menduduki peperiksaan online.

Rose memilih kawasan hutan tersebut kerana liputan internet di kawasan itu lebih bagus dan sesuai untuk dikunjungi setiap hari berbanding di kawasan lain kerana jadual kelas yang penuh.

Selain itu, kawasan hutan itu dipilih kerana ia berdekatan dengan kebun milik ayahnya sekaligus dapat membantu membaik pulih pondok di kebun bagi kegunaan kelas online akan datang.

“Sepatutnya presentation ini sudah selesai pada minggu lepas tetapi terpaksa ditunda kerana gagal untuk menghadirkan diri ekoran daripada capaian Internet yang sangat lemah di kawasan pedalaman,” katanya.

Rose terpaksa memilih kawasan hutan berhampiran kebun ayahnya kerana kos untuk berulang alik ke bandar adalah sangat tinggi ditambah dengan cuaca yang sering hujan sejak kebelakangan ini.

“Saya orang kurang berkemampuan jadi saya tidak mampu untuk pergi ke pekan hari-hari tambahan pula keadaan cuaca yang kerap hujan,” katanya.

Tambah Rose lagi, sebagai seorang pelajar tahun akhir, dia amat memerlukan capaian internet yang baik bagi mendapatkan maklumat berkaitan sesi pembelajaran melalui sistem universiti.

Rose berharap perkongsiannya di Facebook ini dapat sampai ke pihak berwajib dan berharap capaian Internet di kawasan itu dapat dipertingkatkan.

Sebelum ini, kami ada kongsikan kisah yang hampir sama dengan cerita di atas. Untuk baca artikel penuh, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca