Berkahwin 19 Kali, Guru Silat Ini Miliki 46 Orang Anak Dan 200 Orang Cucu

Lelaki yang merupakan seorang guru silat ini pernah berkahwin 19 kali dan kini mempunyai 46 anak berusia antara 15 tahun hingga 50-an serta 200 cucu. Che Soh Che Ahmad atau lebih dikenali sebagai ‘Abe Soh Bini Ramai’ yang tinggal di Kampung Babong, Kota Bharu mula berkahwin ketika berusia 15 tahun dan perkahwinan terakhirnya ketika berusia 55 tahun.

Menariknya, walaupun berlainan ibu, keluarga besar Che Soh ini sangat rapat antara satu sama lain. Malah, 3 isterinya juga sangat rapat seolah-olah 3 beradik.

“Saya berkahwin ketika berusia 15 tahun dan selepas setahun perkahwinan, saya mula berkahwin lain dan ada ketikanya mempunyai 4 isteri dalam tempoh tertentu.”

“Kali terakhir berkahwin ketika berusia 55 tahun iaitu 17 tahun lalu dan isteri ketika itu berusia 16 tahun. Namun, usia perkahwinan itu paling singkat berbanding yang lain kerana hanya mampu bertahan 2 minggu saja.”

“Daripada 19 perkahwinan itu, kebanyakannya kami bercerai hidup, tetapi hubungan anak-anak cukup baik dan setiap kali berkumpul, ia waktu yang cukup bermakna bagi keluarga kami,” katanya.

Apabila ditanya rahsianya yang mampu memikat gadis berusia belasan tahun walaupun beliau sudah beristeri, Che Soh berkata, ia mungkin disebabkan beliau mempunyai sifat diimpikan perempuan.

“Walaupun tegas, tetapi saya seorang yang penyayang dan lucu. Semua 19 isteri dikahwini ketika mereka berusia belasan tahun.”

“Saya tidak menyesal dengan perjalanan hidup yang unik ini. Walaupun orang menggelar saya ‘Abe Soh Bini Ramai’, saya tidak marah kerana ia perkara benar dan tidak perlu disembunyikan.”

“Saya bersyukur Allah menganugerahkan saya isteri yang baik dan mendengar kata, malah 3 isteri sekarang pernah tinggal bersama satu rumah selama 10 tahun, sebelum masing-masing tinggal di rumah sendiri,” katanya.

Menurut Che Soh yang kini berusia 72 tahun itu, kadang-kadang dia masih terdetik untuk berkahwin lagi. Walau bagaimanapun, anak perempuannya menasihati supaya sudah-sudahlah mencari isteri.

“Kini saya ada 3 isteri dan banyak masa ditumpukan untuk beribadat,” katanya.

Sementara itu, isteri pertamanya, Mariam Kadir, 60, berkata dia merupakan isteri ke-16 dan berkahwin ketika berusia 16 tahun.

“Suami seorang yang baik dan berlaku adil kepada semua isterinya. Hubungan kami rapat seperti adik-beradik dan setiap kali Aidilfitri, kediaman kami cukup meriah dengan berkumpul di rumah suami berada ketika itu,” katanya.

Artikel Lain Untuk Di Baca