Berjuang Pertahankan Cinta Sejati, Ini 6 Pengajaran Tersembunyi Dalam Animasi Doraemon

Sebut sahaja animasi Doraemon pasti ada antara pembaca yang menjadi peminat setia animasi kucing biru ini. Doraemon bukan hanya terkenal di negara Jepun bahkan di seluruh dunia.

Animasi ini juga berjaya bertahan sejak berpuluh tahun dahulu dan sentiasa menjadi tontonan ramai kerana jalan ceritanya yang lucu dan penuh nilai murni.

Namun, tahukah anda? Setiap babak yang ditonton mengandungi pelbagai pengajaran. Berikut penulis kongsikan pengajaran di sebalik animasi Doraemon ini:

1. Setia kawan

Sebagai penonton kita dapat lihat yang Doraemon sangat setia dalam persahabatan dan melindungi Nobita apabila dibuli oleh Giant dan Suneo. Menerusi animasi ini, watak Doraemon digambarkan sebagai sahabat yang suka memberi nasihat kepada Nobita.

Oleh itu, kita seharusnya mencontohi sifat yang dibawakan oleh watak Doraemon agar sentiasa menasihati dan menegur kelakuan sahabat apabila melihat mereka semakin jauh atau hanyut terbawa dengan keindahan dunia.

2. Mempertahankan cinta sejati

Seterusnya, animasi ini turut mengajarkan kita tentang erti kasih sayang dan cinta sejati. Misalnya, watak Nobita digambarkan sebagai seorang anak, sahabat, pelajar dan manusia yang mencintai Shizuka iaitu gadis cantik dan bijak.

Nobita sedar akan kekurangan dirinya untuk menakluki cinta Shizuka tetapi dia tidak pernah berhenti berusaha untuk mendapatkan cinta Shizuka sehingga menjadi miliknya.

3. Jangan bertindak sewenangnya

Perwatakan yang digambarkan oleh Giant dan Suneo tidak sepatutnya dicontohi. Giant yang bertubuh besar suka membuli dan mengarahkan Nobita untuk mengikuti semua kemahuannya. Manakala, Suneo pula digambarkan sebagai anak orang kaya yang suka membuli Nobita. Seharusnya, Giant dan Suneo membantu Nobita dengan kelebihan yang dimiliki oleh mereka.

4. Berusaha dan jangan cepat mengalah

Dalam animasi ini, tidak semua kemahuan Nobita akan dituruti oleh Doraemon. Ini bermakna Nobita perlu berusaha untuk merealisasikan kehendaknya.

Hal ini menjadikan Nobita sebagai seorang yang tidak cepat mengalah dan sentiasa berusaha untuk menunjukkan kepada Doraemon bahawa dia mampu berdikari. Nilai murni seperti ini jelas menunjukkan bahawa dengan usaha kita mampu dapatkan setiap yang diinginkan tanpa terus bergantung pada orang lain.

5. Jangan bersikap berlagak

Suneo dilahirkan sebagai anak orang kaya. Watak Suneo sering digambarkan dengan tabiat yang berlagak di hadapan rakan-rakannya setiap kali berhasil memiliki dan memperoleh sesuatu.

Oleh itu, kita tidak seharusnya mencontohi sikap sombong dan suka menunjuk-nunjuk seperti Suneo kerana ia hanya akan memakan diri sendiri. Ingat, tidak selamanya kita sentiasa berada di atas.

6. Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya.

Doraemon pasti akan mengeluarkan bermacam-macam alat untuk membantu Nobita daripada poket ajaibnya. Setiap alat yang dikeluarkan oleh Doraemon mempunyai fungsi yang tersendiri.

Ini bermakna setiap masalah pasti mempunyai jalan penyelesainnya. Walaupun cara penyelesaian masalah berbeza namun kita perlu yakin dan tidak cepat mengalah.

Kesimpulannya, animasi Doraemon tidak hanya menghiburkan penonton semata-mata, namun jelas memberikan pengajaran di sebalik jalan cerita yang dibawa oleh watak-watak tersebut.

Maka, animasi ini seharusnya sentiasa ditayangkan menerusi kaca televisyen dalam slot-slot tertentu agar ditonton oleh masyarakat khususnya generasi muda masa kini.

Penulis

  • Nur Hazieta binti Husin adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi
  • Dr Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan  Penyelidikan dan  Jalinan   Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi
  • Artikel Lain Untuk Di Baca