Berjaya Raih Pingat Perak, Chew Wei Lun Rupanya Simpan Kisah Sedih

Walaupun ini merupakan penampilan pertama Chew Wei Lun di pentas Sukan Paralimpik, atlet boccia itu mencipta kejutan manis semalam apabila berjaya menghadiahkan pingat perak dalam acara individu bercampuran BC1 untuk Malaysia.

Wei Lun telah menampilkan prestasi permainan cemerlang apabila berjaya mencatat rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan sebelum tewas kepada juara bertahan iaitu David Smith dari Great Britain.

Di sebalik kejayaan beliau memenangi pingat perak pada temasya berprestij dunia itu, Wei Lun rupanya menyimpan kisah sedih yang tidak diketahui ramai.

Sumber: Twitter @nvigators

Menurut Facebook Kuala Lumpur 2017, atlet berusia 26 tahun itu menyatakan bahawa beliau telah ditinggalkan ibu kandungnya ketika berusia empat tahun dan kemudian dijaga oleh datuknya.

Ketika berusia sembilan tahun, Wei Lun dihantar ke pusat penjagaan orang kurang upaya (OKU). Beliau akui bahawa ia bukan mudah untuk membesar dalam suasana begitu kerana terpaksa berdikari dan melakukan semua perkara sendiri.

“Dari dulu lagi, saya terpaksa berdikari. Umur saya empat tahun semasa ibu tinggalkan saya. Selepas itu, atuk yang jaga saya. Saya dihantar ke pusat penjagaan orang kurang upaya.

Bukan senang membesar dalam suasana macam ni sebab semua benda kena buat sendiri. Banyak perkara yang saya pelajari dan sekarang saya sudah boleh jaga diri sendiri,” ujarnya.

Sumber: Twitter @MSNMalaysia

Kehidupan Wei Lun berubah selepas mengenali sukan boccia yang diajar oleh seorang guru di sekolahnya. Disebabkan minatnya yang mendalam terhadap sukan itu, Wei Lun pernah mengambil cuti selama tiga bulan tanpa gaji supaya beliau dapat bertanding di Sukan Para ASEAN 2017.

Tambah Wei Lun lagi, “Saya memang suka main boccia. Cikgu dekat sekolah yang ajar saya cara nak main boccia. Dah minat sangat sampai saya ambil cuti tiga bulan tanpa gaji supaya dapat bertanding di Sukan Para ASEAN 2017 dan banggakan negara saya.

Saya tetap sukakan kerja saya dan saya sentiasa mahu gembirakan diri sendiri juga. Saya ada kerja, gaji tetap dan boleh buat apa yang saya suka lakukan. Apa lagi yang saya nak? Memang susah sikit nak seimbangkan kerja dengan boccia tapi dapat wakil negara memang berbaloi.”

Ternyata segala usaha dan pengorbanan beliau membuahkan hasil apabila Wei Lun berjaya mendapat pingat perak di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Setinggi-tinggi tahniah kami ucapkan kepada Wei Lun atas kejayaan beliau dan semoga dapat melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan!

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca