Berjaya Raih 32 Ijazah Dalam Masa 21 Tahun, Lelaki Ini Jadikan Belajar Sebagai Hobi

Jarang kita dengar anak muda masa kini jadikan belajar sebagai hobi. Namun, semua itu tidak mustahil bagi pemuda ini!

Welin Kusuma, 39, seorang pemuda yang berasal dari Makassar Indonesia telah berjaya meraih 32 ijazah dalam bidang akademik dan bukan akademik dalam masa 21 tahun dan dilaporkan tidak akan berhenti.

Bermula pada tahun 1999 ketika Kusuma berusia 18 tahun, ijazah pertamanya adalah Kejuruteraan Industri di Universiti Surabaya, salah satu universiti terbesar di Indonesia.

Beliau pernah ditemu bual oleh beberapa media tempatan pada tahun 2017 dan beliau menyatakan bahawa tidak ada pendidikan yang sia-sia dan itu merupakan prinsip yang beliau pegang sejak dulu lagi.

Menurut Kusuma juga, universiti merupakan hobinya dan beliau sangat berminat untuk belajar. Beliau yakin bahawa dengan pergi ke universiti, beliau akan mendapat pengetahuan yang berguna.

Welin Kusuma juga turut menerima beberapa sijil professional dalam pelbagai bidang. Sebagai rekod, beliau memiliki 11 Ijazah Sarjana Muda, tiga Ijazah Sarjana dan 18 Sijil Profesional.

Ramai warganet yang bertanyakan mengenai cara Kusuma menguruskan masa untuk belajar. Dalam satu temu bual khas bersama CNN, Kusuma menyatakan bahawa beliau mempunyai empat kelas. Kelas pertama berlangsung pada waktu pagi, manakala kelas kedua akan berlangsung pada sebelah malam. Lagi dua kelas akan dilakukan dalam talian dan juga pada hujung minggu.

Kusuma sudah mempunyai 18 sijil pada usianya 31 tahun iaitu pada tahun 2012. Kusuma telah memecahkan rekod untuk gelaran akademik paling banyak.

Beliau juga telah mencipta rekod sendiri sebagai pelajar dengan jam kredit yang banyak dalam satu semester iaitu 111 jam kredit. Kebiasaannya pelajar memerlukan empat atau lima semester untuk habiskan jumlah jam tersebut.

Kusuma juga turut mempunyai halaman Wikipedia sendiri.

Dalam perjalanan karier kerja pula, Kusuma memulakan tugasnya sebagai seorang pembantu pemasaran pada 2005. Sejak itu, beliau terus berkembang menjadi seorang penganalisa bagi sebuah syarikat terbesar di Indonesia. Beliau juga dilaporkan mempunyai syarikat sendiri yang memberi perkhidmatan sebagai perunding.

Untuk membaca artikel lain berkaitan, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca