Beri Alasan Tidak Munasabah, Masih Ada Yang Degil Ingkar PKP

Baru pulang daripada kenduri merupakan alasan yang diberikan oleh dua orang lelaki yang menaiki sebuah kereta. Tetapi alasan itu gagal mengaburi polis apabila mereka ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Alor Setar, malam tadi.

Mereka yang berusia sekitar 22 tahun itu ditahan di persimpangan lampu isyarat Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar dalam operasi sekitar jam 10.30 malam.

*gambar sekadar hiasan

Dalam operasi yang dijalankan bermula jam 9.30 malam itu, seramai 22 orang ditahan polis di mana 21 daripadanya ditahan kerana ingkar PKP manakala seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan kerana membawa enam bungkusan air ketum.

Ketika operasi dilaksanakan, terdapat beberapa penunggang motosikal melarikan diri sebaik sahaja menyedari operasi di kawasan itu, malah ada di antara mereka yang memberi alasan tidak tahu kedai serbaneka 24 jam ditutup awal sejak PKP dilaksanakan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar iaitu Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 22 hingga 48 tahun ketika melalui kawasan itu selepas jam 8 malam.

Komisioner Rozi berkata, daripada jumlah yang ditahan itu tiga daripadanya warga asing iaitu dua orang warga Pakistan dan seorang lagi Myanmar berusia sekitar 30-an dan 40-an.

“Hasil pemantauan kita mendapati, masih ada yang masih degil dan keluar ketika PKP ini pada waktu malam tanpa arah tuju.

“Malah mereka turut memberi pelbagai alasan untuk melepaskan diri namun kesemua mereka ditahan untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Beliau berkata, kesemua 21 orang yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan Peraturan 11 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Komisioner Rozi menyatakan, seorang yang ditahan kerana membawa air ketum akan dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan disiasat mengikut Akta Racun 1952.

Apa-apa pun diharapkan seluruh rakyat Malaysia menjadi rakyat yang bertanggungjawab dengan cara mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. Pada waktu begini, diharapkan semua tidak mementingkan diri sendiri dan memberi kerjasama dalam usaha untuk menghentikan penularan COVID-19.

Untuk baca artikel lain berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca