Berhenti Guna Tandas Sejak 1974, Ini Kisah ‘Fundoshi’ Masana Izawa

Seorang lelaki dari Jepun mempunyai cara tersendiri bagi melaksanakan komitmennya terhadap konservasi alam sekitar iaitu menjadikan najisnya sebagai baja semula jadi.

Disebabkan itu, Masana Izawa, 69, telah berhenti menggunakan tandas sejak 45 tahun lalu demi memastikan segala tumbuhan di kawasan tempat tinggalnya mendapat baja yang konsisten.

Selain bekerja sebagai seorang jurugambar, Izawa turut menganggap dirinya sebagai Fundoshi profesional yang membawa maksud Tuan Najis Tanah jika ditulis menggunakan karakter kanji (tulisan Jepun) yang berbeza.

Menurut Izawa, sepanjang tempoh 45 tahun itu, dia telah membuang air besar di kawasan terbuka sebanyak 15,000 kali dan hanya menggunakan tandas sebanyak 14 kali.

Jelas lelaki yang berasal dari wilayah Ibaraki itu lagi, dia sudah lali dengan kutukan da kritikan masyarakat terhadap tabiatnya yang suka membuang air besar di tempat terbuka.

“Ada yang berkata tabiat saya jijik, tidak bersih dan melanggar undang-undang,” katanya.

Walau bagaimanapun, Izawa mempertahankan dirinya dengan berkata dia hanyalah seorang aktivis alam sekitar dan tidak melakukan apa-apa kesalahan. Malah, lokasi yang dipilihnya untuk melepaskan hajat bukanlah sembarangan serta tidak mencemarkan sumber air.

“Sekiranya ada individu di luar saya yang memilih untuk mengikut cara saya, pastikan anda memilih lokasi yang betul dan tidak mencemari zon bersih.”

“Pastikan anda menggali lubang dan menutupnya sesudah selesai,” katanya lagi.

Untuk membaca artikel lain berkaitan cara kehidupan masyarakat di dunia, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca