Berfesyen Bermodalkan Serendah RM6, Pakaian Bundle Semakin Menjadi Pilihan Ramai

Hanya bermodalkan RM6 untuk sepasang seluar dan baju lengkap? Harga sebegini hanya boleh didapati di kedai pakaian bundle, iaitu premis yang menjual pakaian yang terpakai diimport dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun mahupun Korea Selatan di mana pengguna lebih cenderung membuang pakaian lama untuk membawa masuk trend fesyen yang berubah-ubah mengikut musim.

Pada awalnya, kedai-kedai bundle hanya menjadi sasaran pengguna yang berpendapatan rendah namun pada hari ini, semakin ramai yang menerima pakaian bundle sebagai satu trend untuk bergaya menggunakan modal yang lebih rendah pada kualiti yang tinggi. Pakaian bundle juga akan diasingkan mengikut gred yang tertentu sebelum dijual di premis-premis tempatan.

Sumayyah Sulaiman, 22, atau lebih mesra dengan nama Cik Maya terjerumus dengan fesyen bundle ini sejak usia 12 tahun lagi. Menurutnya, pada mulanya dia hanya mengikut emaknya mencari barang-barang keperluan rumah seperti penyangkut baju.

Kemudian, tabiat ini dipupuk sehingga dia dewasa di mana Cik Maya gemar menggayakan fesyen dari premis-premis bundle. Menurutnya lagi, dia juga akan menjahit dan mengubah suai sendiri pakaian-pakaian yang dibelinya dari premis bundle jika pakaian tersebut tidak sesuai dengan saiz tubuhnya.

Antara premis bundle yang menjadi destinasi pilihan Cik Maya ialah pasar karat di Batu Pahat. Apabila berkunjung ke Johor Bahru, pasar karat merupakan destinasi wajib dikunjungi oleh para pelancong. Pasar karat terkenal dengan barangan-barangan vintaj seperti pakaian, kasut serta gajet.

Sejak tahun 1970-an, orang Melayu dipercayai telah mempelopori perniagaan bundle. Kini, perniagaan ini juga sudah berkembang di Indonesia, Bangladesh dan Pakistan. Trend ini dipercayai telah bermula di Chow Kit pada tahun 1980-an, ketika pekerja asing Indonesia baru bermula bertapak di Malaysia.

Dalam berfesyen, tiada syarat yang menyatakan bahawa kita hanya boleh menggayakan fesyen daripada jenama-jenama terkenal yang mahal-mahal belaka. Sekiranya anda bernasib baik, anda mungkin menemui barangan berjenama yang pada asalnya harganya boleh tahan mahal dan ia dijual dengan harga yang sangat murah di premis-premis bundle.

Menurut Cik Maya, tidak kisah betapa banyak duit yang anda ada, atau betapa mahalnya sesuatu pakaian yang anda miliki, jika anda tidak tahu bagaimana untuk menggayakan sesuatu fesyen, anda akan tetap juga kelihatan aneh di mata orang sekeliling.

Kesimpulannya, nilai fesyen itu bukan terletak pada harga dan nilai materialistik sesuatu pakaian. Tidak kira berapa pun harganya, matlamat utama pemakai adalah untuk menggayakan pilihan pakaian mereka dengan selesa.

Penulis

  • Atikah Zakaria adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca