Salah satu soalan yang anda akan kerap dengar daripada saudara-mara anda semasa musim perayaan ialah, “Bila kamu mahu berkahwin?” ataupun “Dah ada teman lelaki/ wanita ke?”
Untuk yang masih belum mempunyai pasangan, anda kini boleh menggunakan istilah ini untuk menjawab soalan-soalan tersebut iaitu anda kini berpasangan dengan diri sendiri.
Emma Watson mendedahkan dalam sebuah temu bual bahawa dia tidak menggelarkan dirinya sebagai seorang yang bujang atau single, sebaliknya dia lebih selesa menggambarkan dirinya sebagai ‘berpasangan dengan diri sendiri’ selepas berhadapan dengan tekanan daripada masyarakat untuk berkahwin dan mempunyai keluarganya sendiri menurut laporan The Star.
Sumber: Vogue
Dalam temu bual tersebut, pelakon berusia 29 tahun ini yang terkenal sebagai Hermione Granger dalam filem Harry Potter turut membincangkan tekanan yang dihadapi olehnya terutamanya apabila dia menghampiri usia 30 tahun.
Memetik laporan Vogue, Emma berkata, “Pada mulanya, saya tidak pernah mempercayai yang saya gembira hidup bersendirian. Bagi saya, itu semua kelentong. Saya ambil masa yang lama untuk sedar, tetapi saya sangat gembira sekarang. Saya seronok bertemankan diri sendiri.”
Tambahnya, “Saya rasa sangat tertekan bila masyarakat memikirkan diri mereka tidak selamat dan stabil dalam kerjaya hanya kerana tidak mempunyai rumah, suami dan bayi menjelang umur 30 tahun.”
Dalam pada itu, BBC melaporkan, Emma bakal membuat kemunculan semula pada bulan Disember tahun ini sebagai Margaret “Meg” March menerusi filem terbaharu iaitu Little Women.
Kesimpulannya, adakah anda single ataupun anda berpasangan dengan diri sendiri?