Berani Tanggung Risiko, Ini Kisah Mesut Özil

Siapa sahaja yang tidak kenal Mesut Özil? Semua peminat bola sepak pasti kenal pemain tengah Arsenal ini kerana beliau boleh dikatakan antara pemain terbaik di dunia.

Kerjaya bola sepak Özil

Özil mula mewakili pasukan kebangsaan Jerman dalam peringkat remaja sejak tahun 2006. Namun, beliau mewakili negara itu secara rasmi tiga tahun kemudian selepas mendapat panggilan daripada Joachim Low iaitu jurulatih kebangsaan Jerman pada waktu itu!

Beliau mula mendapat perhatian peminat antarabangsa semasa pertandingan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan selepas menerima pencalonan Anugerah Bola Emas. Anugerah ini hanya akan diberi kepada pemain terbaik dalam satu kejuaraan Piala Dunia.

Untuk pengetahuan anda, Özil memulakan kerjayanya di Schalke 04 dalam saingan Bundesliga pada tahun 2006. Dua tahun kemudian, beliau berpindah ke Werder Bremen selepas pasukannya itu hanya menamatkan saingan liga di kedudukan pertengahan.

Walaupun beliau tidak memenangi liga selepas menyertai Werder Bremen, namun persembahan yang dipamerkan oleh Özil berjaya menarik minat pasukan gergasi bola sepak dunia iaitu Real Madrid.

Pasukan gergasi Sepanyol itu membuat keputusan untuk membeli pemain tersebut berikutan prestasi yang amat baik dalam temasya Piala Dunia 2010 bersama Jerman.

Setelah memegang pelbagai trofi kejuaraan bersama Real Madrid selama tiga tahun, beliau akhirnya membuat keputusan untuk berpindah ke Arsenal pada tahun 2013.

Pindah warganegara atau naturalisasi?

Özil pernah menjadi tumpuan dunia pada zaman mudanya kerana lebih memilih untuk mewakili pasukan bola sepak Jerman berbanding Turki. Masyarakat Turki menggelar beliau sebagai The Lost Boy kerana Özil bagi mereka merupakan seorang pemain yang berbakat.

Namun, Özil ialah seorang pemain yang berani menanggung risiko. Semasa beliau memindah kewarganegaraannya dari Turki ke Jerman pada 2007, pasukan bola sepak Turki sedang berusaha untuk menjadikan Ozil salah satu pemain dalam skuad kebangsaan mereka.

Walaupun begitu, Özil menolak tawaran itu dengan cara baik. Özil pilih untuk bertegas dengan keputusannya dan siap sedia menerima apa jua risiko yang akan datang kerana beliau tahu apa yang diinginkan olehnya.

Sudah tentu, Fatih Terim iaitu jurulatih skuad kebangsaan Turki pada ketika itu tidak mahu mengalah!

Katanya, “Kami akan lakukan segala-galanya supaya Mesut Özil bermain untuk kami.”

Fatih turut menyindir persatuan bola sepak Turki kerana Özil bermain untuk Jerman dalam sebuah perlawanan persahabatan tetapi ia bukan perlawanan rasmi di bawah FIFA.

Dalam erti kata lain, Özil masih boleh bermain untuk Turki sekiranya beliau mahu. Walaupun begitu, Özil menolak tawaran Fatih dan sebaliknya bermain untuk pasukan kebangsaan Jerman bawah 21 tahun dalam pertandingan Piala Eropah.

Penulis

  • Mohd Ezaidi Wahap adalah pelajar Fakulti Filem, Teater Dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri (FiTA) UiTM.

Dalam pada itu, anda boleh baca lagi artikel berkaitan dengan Mesut Özil menerusi pautan di bawah.

Mesut Ozil Dikeluarkan Daripada Permainan Video Pro Evolution Soccer Di China

Tampil Berani Dengan Penampilan Baharu, Ozil Dedah Punca Warnakan Rambut Jadi Blonde

“Kami Dikhianati”, Peminat Arsenal Di China Ucap Selamat Tinggal Pada Mesut Özil

Artikel Lain Untuk Di Baca