Pada zaman dahulu, wanita sering dianggap sebagai seorang yang lemah dan tidak patut menyertai mana-mana badan politik. Namun begitu, pandangan tersebut mula berubah dengan kehadiran seorang wanita bernama Laksamana Keumalahayati yang merupakan puteri kepada Laksamana Mahmud Syah dan cucu kepada seorang laksamana Angkatan Laut Kerajaan Aceh.
Laksamana Keumalahayati atau digelar Malahayati dilahirkan pada tahun 1560. Pada masa itu, Sultan Alauddin Riayat Syah A-Qahar merupakan pemerintah kerajaan Acheh dari tahun 1537 sehingga 1568.
Sejak dahulu lagi orang orang Aceh dikenali sebagai penganut agama yang taat. Oleh sebab itu, sejak kecil lagi Malahayati telah dididik dengan didikan agama yang tinggi. Sejak berusia enam tahun, Malahayati telah berlajar membaca dan menulis al-Quran. Apabila semakin dewasa, laksamana ini berguru pula dengan Tengku Jamaluddin Lam Kra iaitu seorang ulama dan pemimpin sekolah agama Putri di Bandar Aceh.
Dua tahun kemudian, Malahayati menyambung pembelajarannya di Dayah Inong (Madrasah Banat) dan belajar mengenai ilmu fiqah, akidah, akhlak dan bahasa Arab. Tidak cukup dengan itu, Laksamana Keumalahayati juga mahir berbahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol, Bahasa Melayu dan Bahasa Acheh.
Sejak kecil, Laksamana Keumalahayati sering mengikut bapanya ke pelabuhan untuk melihat kapal dagang dan kapal perang Acheh yang berlabuh di situ. Selain itu. Malahayati juga berminat menyaksikan latihan perang di laut yang dilakukan angkatan tentera Acheh. Dari situlah berputiknya cinta Malahayati kepada laut.
Melihat minat mendalam anak gadis mereka terhadap ilmu perlautan, ibu bapa Malahayati menghantarnya untuk belajar sehinggakan dia berjaya menjadi seorang laksamana yang disegani. Malahayati yang sememangnya bercita-cita tinggi telah mendaftarkan dirinya untuk menyertai Akademi Militar Kesultanan Aceh Darussalam yang diberi nama Mahad Baitul Makdis.
Semasa Melaka jatuh ke tangan Portugis, penindasan yang dilakukan oleh mereka tidak dapat diterima oleh warga Aceh lalu satu peperangan telah tercetus.
Pada tahun 1575, peperangan tersebut diketuai oleh Laksamana Mahmud Syah untuk menyerang Protugis di Melaka. Semasa bertempuran di A Famosa, Laksamana Mahmud Syah telah gugur dalam pertempuran tersebut mengakibatkan angkatan tentera Acheh terpaksa menarik diri.
Terkesan dengan kematian bapa tercinta, Laksamana Keumalahayati telah bertekad untuk membalas dendam di atas kematian bapanya di tangan penjajah.
Perkahwinan dan kematian suami
Laksamana Keumalahayati telah berkahwin seawal usia 17 tahun kepada Laksamana Muda Ibrahim yakni orang bawahan bapanya. Tidak lama kemudian, suami Malahayati diangkat menjadi Panglima Armada kelima Kerajaan Acheh oleh Sultan Mansur Syah.
Sebagai seorang isteri, Malahayati sering mengikut suaminya ketika bertugas di Pulau Rupat. Rutin harian pasangan terbabit bertukar tragedi apabila Portugis mula membuat kacau di kawasan itu dengan merampas kesemua rempah dagangan. Disebabkan itu, satu peperangan kecil di antara Panglima Armada Kelima, Muda Ibrahim dan Portugis. Meskipun dibantu oleh Laksamana Keumalahayati dan beberapa yang lain, angkatan mereka tumpas setelah Portugis melancarkan serangan meriam yang meragut nyawa Muda Ibrahim.
Penubuhan Inong Balee
Meskipun suaminya sudah tiada, Laksamana Keumalahayati tidak mahu semangat juang Acheh runtuh. Dengan senyap, dia telah memakai pakaian suaminya dan memimpin angkatan Acheh menyerang Portugis.
Angkatan pimpinan Malahayati itu telah berjaya menenggelamkan tiga kapal Portugis dan menawan sebuah lagi kapal mereka. Rempah-rempah rampasan telah diserahkan kembali kepada pedagang-pedagang di Banten.
Malahayati tidak berhenti di situ sahaja. Setelah kemenangan itu, dia telah bertindak mengumpul janda-janda pejuang Acheh yang gugur untuk membentuk pasukan tentera wanita. Dengan izin Sultan Alauiddin Riayat Syah Al-Mukammal, hajat Malahayati itu diperkenankan. Dengan itu, Inong Balee iaitu pasukan janda dilahirkan di bawah kepimpinan Laksamana Keumalahayati. Pada mulanya, Inong Balee hanya dianggotai 1000 orang ahli. Namun, jumlah tersebut meningkat kepada 2000 orang tidak lama selepas penubuhannya.
Kedatangan Cornelis de Houtman
Pada tahun 1599, Cornelis de Houtman merupakan seorang ketua angkatan dari Belanda telah datang ke Acheh untuk menjalinkan hubungan perdagangan. Lama-kelamaan, beliau mula membawa satu pengaruh buruk kepada rakyat kerajaan itu. Kekacauan yang kecil telah membawa kepada penghasutan rakyat sehingga mereka berani mencabar kedudukan sultan.
Apabila hal ini berlaku, Sultan Acheh telah memerintahkan Laksamana Keumalahayati dan pasukannya menghalau Cornelis dan angkatannya dari wilayah terbabit.
Perintah tersebut segera dijalankan Keumalahayati dan Inong Balee. Akhrinya, pada 11 September 1599, kerajaan Belanda memohon maaf dan berdamai dengan kerajaan Acheh
Tiada siapa tahu pengakhiran sebenar kisah Laksamana Keumalahayati. Dikatakan, wanita berani itu telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1615 dan jasadnya selamat dikebumikan di Bukit Krueng Raya, Lamreh, Aceh Besar.
Demi menghargai jasanya, nama Malahayati kini diabadikan sebagai nama jalan, pelabuhan dan hospital di wilayah Acheh. Potret lukisan laksamana wanita itu pula dilaporkan berada di Muzium Kapal Selam, Surabaya, Jawa Timur.
Penulis
• Noor Azwanie binti Arifin adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
• Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan
Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.