Belum Siap Sepenuhnya, ‘Jambatan Angkat’ Terengganu Sudah Jadi ‘Port’ Ambil Gambar

Jika London terkenal dengan jambatan angkat dan gantung merentasi Sungai Thames iaitu Tower Bridge, Terengganu kini boleh berbangga dengan jambatan angkat atau drawbridge di muara Sungai Terengganu.

Kenapa ia dikenali sebagai jambatan angkat? Hal ini demikian kerana bahagian tengah jambatan ini boleh diangkat bagi memudahkan laluan kapal-kapal besar. Ia mengambil masa kira-kira 2 minit untuk naik (dibuka bagi laluan kapal) dan 2 minit untuk diturunkan semula (dibuka kepada pemandu kenderaan darat).

Selain menjana sumber ekonomi setempat, mercu tanda ikonik baharu yang pertama seumpamanya di tanah air dan Asia Tenggara itu dilihat bakal menjadi satu lagi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Berikut kami kongsikan 5 fakta menarik tentang jambatan angkat Kuala Terengganu:

1. Ia mula dibina pada Ogos 2014 dan merupakan jambatan angkat terpanjang di dunia (638 meter).

2. Ia menghubungkan Muara Selatan di pusat bandar Kuala Terengganu dan Muara Utara di Seberang Takir.

3. Kedudukannya yang sangat strategik iaitu di tengah-tengah bandar raya itu secara tidak langsung akan memendekkan jarak perjalanan dari bandar ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Nerus iaitu dari 30 minit ke 10 minit sahaja.

4. Pihak Berkuasa Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC) merupakan pihak yang bertanggungjawab membina keseluruhan projek Kuala Terengganu City Centre atau KTCC dan jambatan angkat ini menelan kos kira-kira RM248 juta.

5. Ia terbahagi kepada 2 bahagian iaitu sebelah utara yang menempatkan restoran mewah di tingkat 14 manakala di bahagian selatan pula terdapat galeri yang membolehkan orang ramai melihat keindahan bandar Kuala Terengganu terutamanya pada waktu malam.

Apa yang menariknya tentang jambatan angkat ini, ia lebih unik kerana tiang antara 2 menara itu berkeluasan 50 meter lebar dan ia lebih besar berbanding dengan Tower Bridge di London.

Turut tersedia di jambatan angkat yang dikhabarkan bakal dibuka kepada orang ramai pada awal Jun ini ialah lebih 100 petak tempat letak kenderaan di bawah jambatan iaitu masing-masing 50 petak tempat letak kenderaan di utara jambatan manakala 50 lagi di selatan jambatan.

Pada masa yang sama, ada segelintir maklum balas daripada nelayan kelas C yang bimbang jambatan tersebut bakal menjejaskan operasi turun ke laut bagi menangkap ikan sekaligus menutup punca pendapatan utama mereka.

Namun begitu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri iaitu Dr Mamad Puteh menegaskan bahawa mereka tidak perlu bimbang kerana jambatan ini dibina mengikut ketinggian ideal.

Meskipun jambatan angkat ini belum siap sepenuhnya, ia sentiasa menjadi pilihan pelancong dan juga rakyat Terengganu sendiri untuk bergambar. Orang Terengganu cakap, “Lawo boh!”

Memang Instagram-worthy habis kan? Sekiranya anda berkunjung ke Kuala Terengganu, jangan lepaskan peluang untuk bergambar berlatarbelakangkan jambatan angkat ini. Bolehlah acah macam dekat London!

Artikel Lain Untuk Di Baca