Beli Tong Air Berharga RM145, Warga Lembah Klang Siap Sedia Hadapi Krisis Bekalan Air

Tinggal kurang 24 jam, lebih daripada 4 juta penduduk di beberapa kawasan di Lembah Klang, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Petaling, termasuk Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor akan mengalami gangguan bekalan air selama 4 hari berikutan kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2.

Rata-rata penduduk di Shah Alam dan Klang bersiap sedia menghadapi gangguan bekalan air sementara. Ada di antara mereka yang membeli bekas atau tong untuk menyimpan air. Pada masa yang sama, air minuman juga dibeli oleh mereka dalam kuantiti yang banyak.

Menurut seorang peniaga iaitu Mohd Muzamir Mahyuddin yang menetap di Seksyen 8, Shah Alam, dia terpaksa membeli tong air 70 gelen yang berharga RM145 untuk menghadapi krisis bekalan air ini.

“Walaupun hanya bertiga (isteri dan anak), saya tetap membuat persiapan untuk menghadapi segala kemungkinan kerana kami pernah air tidak mencukupi sebelum ini,” katanya.

“Justeru, kali ini saya membeli yang lebih besar. Ia mudah digunakan jika berlaku lagi gangguan bekalan air pada masa akan datang,” tambahnya lagi.

Sementara itu, pembantu penyelidik universiti awam, Normi Idayu Ishak membuat persediaan dengan membeli air minuman dalam kuantiti yang banyak.

“Selain menadah air dalam baldi, saya beli air banyak kerana ruangan rumah yang terhad.”

“Bekalan air itu turut disimpan dalam kereta bagi kemudahan jika memerlukannya pada saat kecemasan,” katanya.

Bagi seorang pengamal media iaitu Zubaidah Mat Isa, dia menyediakan satu tong besar di samping 2 baldi besar sebagai persediaan untuk menyimpan air sepanjang tempoh gangguan bekalan air bermula esok.

“Bermula Sabtu lalu, saya sudah mula tadah air dan beli air mineral bersaiz besar untuk dihantar ke rumah pengasuh anak memandangkan rumahnya juga turut mengalami masalah bekalan air,” katanya.

Menurut ibu kepada 2 orang anak yang menetap di Setia Alam itu, seandainya bekalan air yang disimpannya itu tidak mencukupi dan lori tangki air tidak tiba seperti yang dijadualkan, dia terpaksa mengambil pendekatan lain.

“Memang sangat merisaukan jika air tadahan yang disimpan tidak cukup sebab tempoh gangguan air dikatakan mencapai sehingga 14 jam memandangkan saya serta jiran lain, ramai yang ada anak kecil. Kalau terdesak, saya akan pulang ke kampung di Subang,” katanya.

Bagi Mohd Fazli Kamarudin pula, dia memilih untuk membuat persiapan lebih awal agar tidak tergesa-gesa esok.

“Mengikut jadual, kawasan saya iaitu Kampung Pendamar akan mengalami gangguan bekalan air bermula pagi esok sehingga malam Sabtu.”

“Jika diikutkan, tangki di rumah agak besar. Tambahan pula, ahli keluarga saya tidak ramai dan penggunaan air selalunya tidak banyak.”

“Namun, kami tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengisi air di dalam tong yang sedia ada. Selain itu, kami mengambil langkah berjimat cermat dalam menggunakan air,” katanya.

Sementara itu, menurut Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Air Syabas Abdul Raof Ahmad, pihaknya akan menggerakkan 82 buah tangki air dan 17 jumbo tanker sepanjang berlakunya gangguan bekalan air.

“Selain bantuan melalui lori-lori tangki, sebanyak 106 buah tangki statik turut diletakkan di lokasi-lokasi strategik dan premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan sebagainya. Kami juga akan mengaktifkan 10 pusat Khidmat Setempat (PKS) bagi memberi bantuan bekalan air.”

“PKS ini akan diaktifkan bermula pukul 8 pagi pada 26 April dan beroperasi 24 jam sehingga bekalan air pulih sepenuhnya. Setakat ini juga, kita tidak meminta bantuan pihak lain memandangkan semua aset Syabas yang digerakkan mampu membantu pengguna yang terjejas,” katanya.

Bagi kes-kes kecemasan yang memerlukan bekalan air seperti kematian dan kenduri kahwin, orang ramai boleh menghubungi Syabas melalui talian WhatsApp di 019-2816793 atau 019-2800919 yang dibuka selama 24 jam.

Artikel Lain Untuk Di Baca