Beli Mercedes Benz Untuk Pegawai Tinggi Kerajaan, Ini Penjelasan Menteri Besar Kelantan

Kerajaan Negeri Kelantan mengesahkan akan membeli kenderaan rasmi baru untuk kegunaan Menteri Besar dan Exco negeri secara berperingkat. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Kelantan yang disiarkan di laman Facebook rasmi Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob, keputusan tersebut dibuat setelah penelitian mengenai kenderaan lama yang telah digunakan sejak 10 hingga 12 tahun yang lalu.

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menggantikan kenderaan yang digunakan sejak lebih 10 tahun itu dengan mengekalkan nombor pendaftaran asal iaitu DV 1 di kenderaan rasmi Menteri Besar Kelantan dan telah mendapat perkenan Sultan Kelantan. 

Sebelum itu, tular di media sosial gambar kereta mewah jenama Mercedes Benz dipercayai kenderaan rasmi Menteri Besar Kelantan. Kereta mewah berwarna hitam model S450 menggunakan nombor plat DV 1 itu tertulis Menteri Besar Kelantan mula tular di Facebook selepas dimuat naik seorang pelayar media sosial berkenaan. Kenderaan tersebut dikatakan berharga hampir RM700,000.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ketika menjawab pertanyaan media pada 2018 mengakui, kerajaan negeri membeli kereta Mercedes Benz untuk pegawai tinggi kerajaan dengan alasan tahap keselamatan lebih terjamin. Pembelian kenderaan tersebut, tambah Mohd Amar lagi dilakukan mengikut keperluan.

 “Dulu pun Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat (bekas Menteri Besar Kelantan) sendiri pun pakai Mercedes Benz. Kita utamakan keperluan,” katanya selepas mesyuarat EXCO di Kota Bharu.

Artikel Lain Untuk Di Baca