Ini kisah Si Belang. 6 bulan (anggaran doktor). Menghidap epilepsi dan buta.
Seumur hidup, belum pernah lagi saya jatuh kasih pada haiwan sebanyak ini. Belang datang secara tiba-tiba, entah dari mana. Hari itu Jumaat, baru selesai assessment akhir Playwriting. Tiba-tiba ramai pelajar berkerumun di tepi kereta saya. Kelihatan susuk tubuh kecil menggelupur di atas jalan, berbuih mulutnya. Macam-macam teori muncul. Makcik cleaner kata dia kena langgar, ada pula yang kata dia termakan racun. Saya tak fikir panjang, terus balik ke rumah, ambil cat carrier dan bawa dia ke klinik ditemani dua orang student, Fifi dan Amani.
Di kaunter, staf klinik tanya siapa namanya. Entah, saya jawab. Ini bukan kucing saya. Baru terjumpa tadi. Staf minta saya namakan supaya senang tulis dalam rekod. Belang. Spontan nama itu terpacul.
Bila jumpa doktor, saya jadi geram sebab doktor takut-takut nak pegang Belang. Waktu itu belum tahu dia buta. Doktor depa tangan sambil pegang tuala, Belang takut dan menggelupur lagi. Saya usap-usap Belang dan tenangkan dia. Doktor suluh mata Belang. Tak ada reaksi.
“Kucing ni buta ni, kak.” kata doktor perlahan.
Hati saya jadi sayu. Diam-diam saya berazam, saya akan jaga Belang sepenuh kasih sayang. Doktor beritahu saya perlu tinggalkan Belang untuk dirawat.
Dua malam saya resah menunggu khabar. Macam-macam artikel saya baca tentang kucing buta, bolehkah matanya sembuh? Lusa, doktor telefon. Belang bukan cuma buta, tapi ada masalah saraf yang membuatkan dia diserang sawan (epilepsi) dan itu juga puncanya dia buta. Saya pejam mata. Tak tahu nak rasa apa.
Saya bawa Belang balik rumah. Spot hidu Belang, dan lari keluar. Saya biarkan Belang meneroka. Dia hidu-hidu satu rumah. Disebabkan buta, dia bergantung penuh dengan deria bau dan pendengaran. Setiap kali saya panggil namanya, dia akan sahut dan gesel manja.
Belang masih makan ubat saraf. Mahal betul ubatnya. Tapi ubat itu cuma untuk kawal saja, bukan menyembuh. Tiap malam Belang diserang sawan dan saya cuma mampu menangis tengok dia.
Perkongsian dengan izin penulis asal, Zara SchonSuryani