Belajar Tinggi Sehingga PHD, Pemuda Ini Tertekan Hanya Mampu Kerja Sebagai ‘Rider’ GrabFood

Baru-baru ini tular sebuah kisah yang dimuat naik menerusi laman IIUM Confession mengenai seorang pemuda yang berusaha keras dalam mencapai kestabilan hidup dan kerjaya meskipun sudah mendapat pendidikan di tahap Doktor Falsafah (PhD).

Masalah menjadi semakin runcing apabila kesemua adik-beradiknya yang lain masih bersekolah dan memerlukan pembiayaan. Bagaimanapun, pendapatan yang diraih setiap bulan hanya mampu untuk menanggung perbelanjaan kehidupan sehariannya sahaja.

Pemuda yang berusia 32 tahun ini menjadi lebih tertekan apabila usahanya dalam mencari pekerjaan selama 2 tahun sejak menamatkan zaman Diploma sehingga ke PhD tidak berjaya.

Lebih menyedihkan apabila kebanyakan syarikat yang enggan mengambilnya bekerja menolak dengan alasan dia terlebih layak untuk dijadikan sebagai kakitangan.

Jelasnya lagi, dia terpaksa mendedahkan kelayakan PhD dan Master yang diperolehnya untuk mengelakkan persoalan yang menjadi tanda tanya kepada pihak majikan.

Lebih memilukan apabila dia mula menyesali tindakannya yang mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Master dan PhD. Dia berfikir bahawa lebih baik sekiranya tempoh lapan tahun itu digunakan olehnya sebaik mungkin dalam membina kerjaya.

Kesempitan dan dugaan yang ditempuh oleh pemuda itu saat ini telah mengubah persepsinya terhadap pandangan kebanyakan mahasiswa/siswi lain yang rata-ratanya melanjutkan pelajaran kerana mencintai ilmu.

Kata pemuda ini menerusi artikel IIUM Confession, “Aku mula rasa sinis bila membaca komen-komen yang mengatakan bahawa sambung belajar sebab minat belajar dan sambung PhD sebab cintakan ilmu. Aku pun begitu dulu, kerana cinta untuk belajar, sumpah benar. Kerana itu, aku sambung belajar hingga PhD. ”

Soalnya sinis, “Tapi lihatlah sekarang, ke mana minat telah membawaku?”

Kisah ini secara tidak langsung telah mendapat perhatian dalam kalangan warganet. Ramai di antara mereka yang memberi kata-kata semangat kepada pemuda ini agar terus cekal dan tabah dalam menghadapi dugaan hidup.

Diharapkan agar perkongsian ini tidak sedikit pun mematahkan semangat generasi baru yang bercita-cita ingin melanjutkan pengajian ke peringkat Master dan PhD. Ketahuilah bahawa setiap kejayaan dan kesenangan itu merupakan rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Baru-baru ini, pihak Lejen Press Digital berpeluang menemu duga seorang pensyarah dari Universiti institut Teknologi Mara (UiTM) untuk berkongsi 7 Tips Sambung Belajar Masters dan PHD. Berikut kami kongsikan video berkenaan untuk tontonan anda:

Artikel Lain Untuk Di Baca