Bekas SUA Dr. Maszlee Malik Bersuara

Saya terpaksa menulis tentang ini kerana sejak minggu lalu, saya telah dijadikan sasaran oleh beberapa kumpulan dan individu untuk menyebarkan perkara yang tidak benar tentang saya.

Saya memilih untuk tidak mahu melayan pada awalnya, tetapi setelah melihat seorang bekas wartawan senior pun termakan dakyah dan berita palsu tersebut, saya tidak mempunyai pilihan lain.

Mereka mengedarkan screenshot saya mengenai Tun Dr. Mahathir dan memperlekeh seolah-olah saya, sebagai salah seorang ‘kepala undi rosak’ yang akhirnya bekerja pula dengan kerajaan yang dipimpin oleh Tun. Saya mengaku saya pernah menulis mengenai ‘undi rosak’ di dalam Kolum saya ketika saya pulang dari Jepun awal 2018 yang lalu.

Namun ingin saya jelaskan, manusia bukanlah pokok yang mana harus jadi statik. Kita adalah organisme hidup yang pasti dinamik. Oleh yang demikian, pendirian politik boleh berubah. Ini norma alam yang berlaku di seluruh dunia.

Jadi timbul soalan. Apakah pandangan saya terhadap PH?

Ini telah saya jelaskan pada 7 Mei 2018, dua hari sebelum PRU14. Posting tersebut telah mendapat sehingga 2,200 tanda suka dengan impression sebanyak 487,000 dan dikongsi oleh ramai orang. Saya pasti mereka yang membuat kerja menyebarkan fitnah terhadap saya ini langsung tidak pernah membaca ‘Panduan Mengundi Untuk Mereka Yang Di Atas Pagar’ seperti yang pernah saya tuliskan ini.

Kemudiannya pada 15 Mei, hampir enam hari setelah PRU14 berjalan, saya telah menulis sebuah artikel di Malaysiakini bertajuk ‘Ada Apa Dengan Mahathir?’. Sekali lagi saya percaya, orang yang obses untuk bercakap tentang ‘orang’ dan ‘individu’; bukan ‘idea’ ini selalunya orang yang kurang membaca.

Cukuplah kiranya saya jelaskan letak duduk dan pendirian saya, walaupun beberapa hari sebelum PRU14 agar semua jelas. Tahukah anda Tok Pa berubah lebih lewat, hampir empat bulan selepas saya dan PH menang?

Juga ingin saya jelaskan, saya masuk ke dalam Pejabat Menteri Pendidikan setelah dipelawa oleh Dr. Maszlee, atas kapasiti saya mengemudi TFTN sejak 2012. Di sana saya menjadi Pegawai Dasar selama hampir sembilan bulan, meneliti dan membaca kertas dasar dan antara perubahan awal yang telah digerakkan oleh para pegawai yang membaca kertas dasar ini kemudiannya adalah perubahan seperti pemansuhan peperiksaan untuk Tahap 1, kolaborasi kajian mengenai beban guru bersama NUTP serta pembentukan ahli Jawatankuasa Dasar (JKD) seramai 13 orang, yang kemudiannya menjalankan semak semula secara menyeluruh mengenai sistem pendidikan nasional.

Buat pertama kalinya, kajian ini dianggotai oleh 100% anak Malaysia berbanding konsultan tahun-tahun sebelumnya yang lebih gemar menggunakan pakar dari luar untuk mengubah sistem pendidikan kita. Sebagai Pegawai Dasar juga saya berperanan meneliti soalan dan jawapan untuk pertanyaan di Parlimen dan menyediakan Ucapan Penggulungan.

Setelah itu, kemudiannya saya diminta oleh Dr. Maszlee untuk menjadi Setiausaha Akhbar (SUA) beliau dan saya menjawat jawatan itu selama hampir 11 bulan. Hari ini saya boleh berbanga kerana semua pegawai di Pejabat Menteri, keluar sama seperti kami masuk hampir 20 bulan yang lalu. Tidak ada seorang pun daripada kami yang diletakkan di posisi Board of Director di mana-mana agensi.

Tidak ada dari kami yang bekerja untuk mengambil tender makanan bermasak di sekolah, tender buku teks mahupun apa jenis tender sekalipun. Saya percaya sekali lagi, tiap seorang daripada kami keluar ketika akaun bank kami masih sama seperti ketika kami mula-mula masuk 20 bulan yang lalu.

Kerana itu ramai yang tidak memahami, mengapa kami keluar dari Pejabat Menteri Pendidikan dalam keadaan yang gembira.

Kami gembira kerana kami telah berjaya menggalas amanah yang diberikan selama hampir 20 bulan ini dan hanya Kad Laporan yang telah kami bentangkan bulan lalu mampu menjawab bagi pihak kami tentang usaha dan perubahan yang hampir mustahil BN-Umno lakukan selama 60 tahun.

Kami fikir, kami telah berusaha sehabis baik.

Untuk mereka yang di luar sana, yang masih mahu memfitnah dan menjalankan ‘special ops’ microtargetting terhadap saya – saya hanya mampu ucapkan Good Luck.

Ini kerana hari ini saya hanyalah seorang yang tidak lagi mempunyai pekerjaan, penganggur dan tidak mempunyai apa-apa.

Saya tidak masuk politik untuk bergambar dengan VIP (walaupun setiap minggu ke PMO dan beberapa kali bermesyuarat di dalam bilik Perdana Menteri) dan hampir setiap hari berjumpa dengan ahli parlimen dan penasihat menteri di parlimen, memakai baju melayu merah ke persidangan, bercakap berdegar-degar di atas pentas ceramah; semuanya untuk memanjat jawatan.

Saya masuk ke dalam politik setelah dipanggil untuk memberi khidmat, setelah bertahun-tahun bercakap, menjerit dan menulis dari luar.

Hari ini, saya bukanlah siapa-siapa. Saya tidak mempunyai jawatan di dalam parti. Saya tidak mempunyai gambar dengan VIP. Dan jika kerana itu saya sebagai seorang penganggur menjadi ‘easy target’, saya serahkan hal ini sepenuhnya kepada Tuhan.

Terima kasih kerana membaca, doakan saya, doakan kami seluruhnya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca