Bekas Guru Sediakan Van Buku Untuk Kanak-Kanak Nigeria

Funmi Ilori pernah bermimpi membina perpustakaan terbesar di Afrika. Kini beliau memandu van yang dipenuhi dengan buku ke kawasan miskin di Lagos untuk membantu kanak-kanak menemukan perasaan cinta untuk membaca.

Baru baru ini iRead melawat sekolah rendah Bethel di bandar besar Lagos.

iRead pertama kali melawat sekolah tersebut dua tahun lalu dan pada waktu itu menawarkan pelbagai pilihan buku termasuk buku mewarna serta novel kanak-kanak.

“Kanak-kanak yang terlibat dalam program ini kini boleh bercakap dan mengeja dengan lebih baik dalam bahasa Inggeris,” ujar Ilori.

“Kita perlu memupuk minat membaca dari usia muda lagi. Dalam kawasan pedalaman, terdapat kanak-kanak yang tidak pernah sentuh buku.

Di dalam van, kanak-kanak lelaki berusia lingkungan 10 tahun memegang naskhah Half of a Yellow Sun, iaitu karya terlaris di pasaran antarabangsa oleh novelis Nigeria, Chimamanda Ngozi Adichie. Buku itu jelas telah banyak kali dibaca sehingga tulang buku hampir-hampir tidak dapat memegang halamannya.

Penulis buku tersebut Adichie sebelum ini terbabit dalam kontroversi apabila wartawan Perancis melontarkan soalan kepadanya dalam kunjungannya ke Paris sama ada Nigeria memiliki kedai buku atau tidak.

“Saya fikir ia mencerminkan bagaimana orang Perancis sangat miskin sehingga anda terpaksa bertanya soalan begitu kepada saya,” balas Adichie yang menambah maksudnya adalah berkaitan sifat rasis dan pandangan kolonial Perancis kepada Afrika.

Ilori sedar akan kontroversi itu dan memahami mengapa soalan berkenaan menyinggung perasaan. Bagaimanapun, beliau melihat isu terbabit dengan luas dan mendedikasikan diri untuk menyelesaikannya.

“Perpustakaan awam berfungsi di Nigeria, sekurang-kurangnya di Lagos. Namun tidak ramai yang memaksimumkan penggunaannya.

“Kita perlu menarik pembaca baharu sejak dari awal usia. Dalam masyarakat luar bandar, ada kanak-kanak yang tidak pernah memegang buku,” katanya.

Bekas guru sekolah rendah ini memulakan bisnes meminjam buku pada tahun 2003. Pada waktu itu beliau meletakkan buku di dalam bakul dan akan pergi rumah ke rumah. Walaupun buku yang ditawarkan boleh dipinjam dengan hanya beberapa naira (mata wang nigeria), beliau menyedari bahawa kebanyakan orang dewasa di kawasan itu terlalu sibuk untuk membaca.

Sepuluh tahun selepas memulakan bisnes “buku dalam bakul”, beliau mendapat ilham untuk melancarkan sebuah perpustakaan bergerak dan memohon dana daripada inisiatif pembangunan kerajaan Nigeria. Permohonan itu berjaya dan kerajaan menyalurkan 10 juta naira dengan kadar pertukaran ketika itu bersamaan AS$60,000 (RM 108,111) Dengan dana itu, beliau membeli lori dan bas mini yang kecil.

Kini dengan dana dan tajaan, beliau mampu untuk mengambil 13 pekerja, membeli 1,900 buah buku dan empat van.

Beliau berkunjung ke empat hingga enam sekolah setiap hari, menganjurkan bengkel membaca pada waktu petang dan memperuntukkan masa pada hujung minggu untuk kanak-kanak yang keciciran di kawasan miskin bandar dengan bantuan sukarelawan.

Van berfungsi seperti perpustakaan sebenar kanak-kanak memilih buku untuk dibaca di rumah dan memulangkannya seminggu selepas itu dan menulis ‘ulasan’ yang diwajibkan mengenai isi kandungannya.

Kini kanak-kanak sekolah beruniform putih dan hijau dengan tali leher, kembali ke kelas dengan bangga. Di tangan mereka, ada buku seperti Toy Story atau Goldilocks and the Three Bears.

Artikel Lain Untuk Di Baca