Beberapa Petugas Perubatan Hospital Teluk Intan Sah Dijangkiti COVID-19

Beberapa kakitangan perubatan Hospital Teluk Intan di Perak didapati positif COVID-19. Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan iaitu Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Menurut Dr. Noor Hisham, pihak Hospital Teluk Intan sedia maklum mengenai penularan berita baru-baru ini menerusi media sosial seperti Facebook dan WhatsApp yang menyatakan terdapat peningkatan bilangan kes positif COVID-19 dalam kalangan doktor sehingga menyebabkan operasi harian di hospital berkenaan terganggu.

“Dimaklumkan bahawa beberapa kakitangan perubatan telah disahkan positif COVID-19,” kata beliau dalam satu hantaran di laman Facebook.

“Walau bagaimanapun, langkah-langkah keselamatan dan pencegahan telah diambil dengan segera serta pemantauan rapi dilaksanakan secara berterusan.”

“Pihak Pengurusan Hospital Teluk Intan telah mengambil tindakan pengawalan yang rapi dengan bantuan Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak serta tindakan pencegahan untuk meminimumkan pendedahan terhadap kakitangan hospital telah menjadi aktiviti utama sejak kes pertama jangkitan positif COVID-19 dikenal pasti,” tambah beliau.

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham menggesa orang ramai agar tidak menularkan sebarang berita yang tiada kesahihan kerana dibimbangi mencetuskan kegusaran.

Sebarang maklumat berkenaan COVID-19 hendaklah dirujuk kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi talian hotline 03-8881 0200/0600/0700 atau e-mel ke [email protected].

Terdahulu, Dr. Noor Hisham mengesahkan terdapat 19 kakitangan KKM dan lima pekerja di kemudahan perubatan swasta dijangkiti wabak berkenaan. Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa jangkitan dalam kalangan kakitangan perubatan bukan disebabkan mereka tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Untuk baca artikel lain berkenaan penularan wabak COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca