Bayi Terpisah 5 Bulan Akhirnya Kembali Ke Pangkuan Ibu Bapa

“Irfan, ini adalah ibu,” demikianlah ungkapan pertama yang keluar daripada mulut seorang ibu apabila dapat memangku anak bongsunya di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Songkhla pada Khamis.

Diiringi dengan linangan air mata, Nurhalisa Jehawee mendukung dan memeluk erat bayi lelaki berusia lima bulan yang terpisah susulan penularan wabak COVID-19 sekali gus membawa kepada penutupan Malaysia-Thailand.

Sumber: Bernama

“Saya sangat gembira. Akhirnya, dapat mendukung anak saya buat kali pertama selepas lima bulan,” kata ibu muda yang berusia 18 tahun itu.

“Saya dan keluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sudi membantu dan menderma kepada kami. Ia membantu kami melangsaikan bil hospital dan membawa pulang Irfan ke pangkuan kami,” kata Nurhalisa sepertimana dilaporkan Bernama.

Memetik laporan media, hasil bantuan dan derma orang ramai, Nurhalisa dan suaminya iaitu Muhammad Tifyoleah berjaya mengumpul wang bagi membayar bil hospital termasuk kos bersalin yang berjumlah hampir RM30,000.

Irfan dilahirkan semasa kandungan ibunya berusia tujuh bulan di Hospital Kajang pada 27 Februari lepas. Namun begitu, Nurhalisa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kajang itu terpaksa meninggalkan Irfan yang ketika itu berada di bawah pemantauan doktor untuk memperbaharui visanya dan suami yang tamat tempoh pada 18 Mac lepas.

Susulan pandemik COVID-19 dan penutupan pintu sempadan Malaysia-Thailand, pasangan itu tidak dapat kembali semula ke Malaysia untuk mengambil anak bongsu mereka di Hospital Kajang.

Sumber: Bernama

Irfan diiringi dua orang jururawat dari Hospital Kajang bertolak pada pukul 8.45 malam Rabu dan tiba di CIQ Sadao pada pagi Khamis. Irfan kemudiannya dibawa ke Hospital Pattani untuk pemeriksaan lanjut. Bayi berkenaan akan menjalani kuarantin wajib bagi warga Thailand yang pulang dari luar negara.

Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca