Gambar Alexander K/Sasha. Sumber: Valery Kasatkin
Jururawat di Siberia, Rusia kini mencari keluarga baharu untuk membesarkan seorang bayi lelaki yang digambarkan sebagai seorang yang tenang dan sentiasa senyum walaupun dilahirkan tanpa bebola mata.
Menurut doktor, Alexander K atau dikenali sebagai Sasha dilahirkan sihat tetapi tidak boleh melihat. Sasha, menurut ahli perubatan, merupakan salah seorang daripada tiga bayi di dunia yang dilahirkan tanpa bebola mata.
Bayi lelaki tersebut dilahirkan di Tomsk yang terletak di Siberia, Rusia pada April lalu. Kini, Sasha berada dalam jagaan seorang jururawat. Penjaga Sasha menggambarkan bayi tersebut sebagai seorang bayi yang sangat ceria.
Tambahnya, “Dia tidak berbeza daripada kanak-kanak lain. Sasha bermain dan senyum seperti mana-mana bayi yang sihat. Selain itu, dia suka bermain dan sangat suka berenang.”
Kini berusia enam bulan, keadaan perubatan Sasha dirujuk sebagai sindrom SOX2 anophthalmia di mana gangguan ini hanya boleh ditemui dalam satu daripada 250,000 orang.
Sindrom ini menyebabkan bayi tersebut dilahirkan tanpa bebola mata ataupun dilahirkan dengan bebola mata yang sangat kecil.
Sumber: Valery Kasatkin
Tatiana Rudnikovich, seorang doktor di Tomsk berkata, “Sasha melakukan pemeriksaan kesihatan berkala dan ujian seperti bayi lain yang sebaya dengannya. Dia berada dalam keadaan baik.”
Bayi tersebut dianggap unik kerana walaupun dia mungkin tidak mampu untuk melihat selama-lamanya, Sasha tidak menghidap penyakit lain.
Pihak penjagaan anak angkat berkata bahawa bayi tersebut akan senyum kembali apabila dia mendengar suara yang tidak asing baginya.
Tambahnya, “Tiada maklumat mengenai bapa Alexander (Sasha) dan terdapat ‘tanda sempang’ pada sijil kelahirannya untuk nama bapa. Bayi lelaki tersebut kini sedia untuk dijadikan anak angkat.”
Ibu Sasha telah membuat keputusan untuk menyerahkan anak lelakinya itu sebelum kelahirannya kerana bimbang dia tidak mampu menjaga anaknya seperti yang diperlukan.
The Siberian Times melaporkan bayi lelaki tersebut telah diterbangkan ke Saint Petersburg, Rusia baru-baru ini untuk menjalani pembedahan. Pakar bedah akan memasukkan bebola mata kecil supaya wajahnya tidak terjejas apabila membesar.
Sasha perlu menjalani pembedahan tersebut selama enam bulan sekali agar bebola matanya membesar seperti manusia normal.