Tidak pernah dibuat orang, pasangan suami isteri dari Indonesia sepakat untuk memberi nama Google buat anak mereka yang lahir pada 30 November lalu.
Menurut laporan portal berita tempatan Kumparan, Andi Cahya Saputra dan Ella Karina mendapat inspirasi untuk meletakkan nama berkenaan ketika kandungan Ella berusia tujuh bulan.
Andi yang berusia 31 tahun berkata, pada mulanya, dia dan Ella mempunyai pilihan nama lain seperti Microsoft, iPhone, iOs, Windows dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, mereka akhirnya berubah fikiran di saat akhir dan memilih nama Google.
“Namanya Google. Hanya satu perkataan, G-o-o-g-l-e,” katanya kepada Kumparan.
Sementara itu, Andi memberitahu bahawa untuk tempoh tiga bulan pertama, anaknya itu belum diberi apa-apa nama. Setiap kali orang bertanyakan nama cahaya mata mereka itu, Ella akan memberitahu yang mereka cuma memanggilnya sebagai ‘Baby Boy’.
“Google itu ada maksud yang baik kerana Google membantu ramai orang. Harapnya Google boleh jadi orang yang berguna”, cerita Andi lagi pada Coconuts Jakarta.
Seperti ibu bapa lain yang mahukan anak kesayangan mereka berjaya, begitu juga dengan Andi dan Ella. Ella memberitahu yang dia berharap agar anaknya akan menjadi pemimpin yang berwibawa suatu hari nanti.
Meskipun meletakkan nama anak merupakan hak ibu bapa, namun pasangan itu tidak terlepas daripada menerima pelbagai kecaman daripada warganet gara-gara menamakan bayi mereka sebagai Google.
Walau bagaimanapun, kecaman tersebut tidak pernah diendahkan oleh Andi dan isteri. Mereka cuma mengambil komen-komen yang positif dan menganggapnya sebagai doa.