Bayi Baru Lahir Mati Dibaham Anjing, Hospital Ini Tawar Duit Minta Keluarga Rahsiakan Kejadian

Polis India bertindak menutup sebuah hospital swasta dan mendakwa kakitangannya dengan tuduhan membunuh selepas seorang bayi yang baru tiga jam dilahirkan mati dibaham anjing liar di dalam dewan bedah.

Kejadian yang berlaku di daerah Farrukhabad, Uttar Pradesh itu hanya disedari ahli keluarga bayi berkenaan selepas mereka terdengar bunyi salakan anjing dari bilik berkenaan. Menurut laporan, haiwan liar berkenaan dipercayai masuk ke ruang bedah itu melalui tingkap yang dibiarkan terbuka.

Sumber daripada pihak polis berkata, bayi berkenaan mengalami kecederaan di seluruh anggota badan dan akhirnya meninggal dunia. Laporan autopsi dijangka akan dikeluarkan secepat mungkin bagi mengenal pasti punca kematian.

“Keluarga itu mendakwa bayi berkenaan ditinggalkan di dalam dewan bedah tanpa pengawasan dengan tingkap yang terbuka sekali gus menyebabkan serangan terbabit berlaku,” ujar pegawai penyiasat, Ved Prakash Panday.

Tambah keluarga itu lagi, kakitangan di Hospital Akash Ganga itu pada mulanya memberitahu mereka bahawa bayi berkenaan meninggal dunia sebaik dilahirkan. Namun, mereka menjadi kecut perut sebaik sahaja dicabar.

“Wang tunai ditawarkan kepada keluarga berkenaan untuk merahsiakan kejadian yang berlaku,” kata Ved Prakash Panday lagi.

Menurut laporan pihak berkuasa, hospital berkenaan tidak mempunyai sebarang lesen yang sah. Hal ini menyebabkan mereka boleh dikenakan penalti kerana beroperasi secara haram.

Mengikut statistik, India mempunyai lebih daripada 30 juta anjing liar. Setiap tahun, dianggarkan sekurang-kurangnya 20,000 orang meninggal dunia akibat serangan rabies.

Untuk membaca artikel lain berkaitan negara India, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca