Bayar Balik Lepas 1 Dekad, Ini 4 Kisah Penjenayah Yang Pandai Meminta Maaf

Pelik tapi benar. Meskipun barang berharga sudah diambil, sang perompak sempat meninggalkan nota memohon maaf atas perlakuannya.

Terbaharu, dalam kejadian pada 17 Februari lalu, pejabat pendakwah terkenal Ebit Lew telah dipecah masuk penjenayah dan barangan berharga termasuk wang tunai berjumlah RM50,000 berjaya dilarikan.

Namun begitu, apa yang mengejutkan adalah sang perompak sempat meninggalkan nota pada meja pendakwah berkenaan yang tertulis permohonan maafnya selain, mendakwa dirinya terpaksa melakukan jenayah tersebut.

Rupa-rupanya, bukan Ustaz Ebit Lew sahaja yang pernah berdepan dengan hal seperti ini. Ternyata, di beberapa kawasan di serata dunia, terdapat beberapa kisah lain mengenai perompak yang meminta maaf selepas melakukan jenayah mereka.

Berikut merupakan lima kisah perompah yang memohon keampunan mangsa mereka selepas melakukan jenayah.

1. Bayar semula lepas 10 tahun

Sebuah keluarga yang memiliki sebuah kedai serbaneka di Nashville, Tennessee terkejut dan terharu dengan tindakan seorang bekas penagih dadah yang bertindak membayar semula wang hasil curiannya kira-kira 12 tahun lalu.

Menurut Somboon Wu iaitu anak kepada pemilik kedai berkenaan, seorang lelaki tidak dikenali memasuki pasar berkenaan pada bulan September 2013 sebelum mendesak Somboon mengambil sampul surat yang dibawanya.

Mengakui dirinya amat sangsi untuk menerima sampul berkenaan, Somboon akhirnya membukanya sebelum menemui sekeping surat permohonan maaf dan wang tunai berjumlah AS$400 (RM1,669.40).

Menerusi surat yang ditulis itu, lelaki misteri berkenaan mendedahkan dia sebenarnya adalah seorang bekas penagih dadah yang pernah merompak premis milik keluarga Somboon kira-kira 10 tahun yang lalu.

Menurut surat itu lagi, lelaki itu kini sudah insaf dan mahu membetulkan semula kesalahannya. Justeru, dia datang semula ke kedai itu pada hari berkenaan untuk membayar semula wang yang dicurinya serta memohon keampunan keluarga terbabit.

Somboon dan bapanya kemudiannya memberikan penghormatan buat perompak yang sudah insaf itu dengan memuat naik surat berkenaan ke laman sosial Instagram beserta kapsyen yang menyatakan lelaki misteri itu sudah dimaafkan dan keluarga terbabit berharap dia bakal menemui kebahagiaan dalam hidup.

2. Demi budak autisme, tali pinggang WWE dikembalikan perompak

Pada bulan Oktober 2018, kanak-kanak autisme, Timothy Vick Jr, lima tahun, telah didiagnos dengan ketumbuhan pada otaknya.

Hadir daripada keluarga yang meminati rancangan World Wrestling Entertainment (WWE), bapa Timothy iaitu Sergio Moriera mahu menghadiahkan anaknya itu dengan sebuah tali pinggang replika kejuaraan gusti berkenaan yang ditempah khas bernilai kira-kira AS$2,000 (RM8,347).

Walau bagaimanapun, tali pinggang berkenaan akhirnya dicuri oleh dua orang penjenayah wanita. Hal berkenaan sekali gus mendatangkan kesedihan buat keluarga Timothy yang menyifatkan objek itu sebagai sangat bernilai buat kanak-kanak autisme terbabit.

“Saya sanggup buat apa sahaja asalkan kamu pulangkan semula tali pinggang itu agar Timothy boleh menyimpannya seumur hidup,” rayu Sergio Moriera dalam satu laporan media.

Kisah itu mendapat liputan meluas media tempatan sehingga menyebabkan dua penjenayah wanita itu memulakan semula tali pinggang berkenaan susulan berasa terlalu kasihan dengan nasib Timothy.

Ternyata, dua wanita itu adalah gelandangan yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Mereka walau bagaimanapun menyesali tindakan yang dilakukan serta berjanji akan berubah.

3. Jiranku perompak

Pada tahun 2018, seorang suspek kes rompakan yang berlaku di Ipoh bukan sahaja meminta maaf secara lisan, malah meninggalkan nota memohon keampunan usai merompak dan mencederakan jirannya.

Menurut laporan, tertuduh yang berusia 29 tahun mula mengacukan sebilah pisau ke leher sebelum menghentak kepala mangsa mengakibatkan dia hampir pengsan.

Selepas melihat mangsa berada dalam keadaan lemah, tertuduh dilaporkan telah memperkenalkan diri sebagai jiran yang tinggal bersebelahan rumahnya.

Sebelum beredar, suspek meminta maaf sebelum mengambil wang tunai milik mangsa yang dianggarkan berjumlah RM1,400.

Satu nota permohonan maaf turut dijumpai mangsa di bahagian bawah pintu rumah ketika kediaman itu dikemas usai kejadian.

4. “Maaf kami curi ‘khinzir’ anda.”

Meskipun dianggap sebagai kisah kecurian yang lucu, keilangan sebuah patung khinzir bernama Choppy berjaya mendapat perhatian pada bulan Jun 2019 di Iowa City, Amerika Syarikat.

Sebuah restoran di bandar itu yakni The Iowa Chop House menyedari bahawa patung khinzir kesayangan mereka yang ditempatkan di satu sudut laman di luar premis berkenaan sudah lesap.

Pemilik restoran itu, George Etre bersama pekerjanya amat berdukacita dengan berita berkenaan. Lalu, mereka memuat naik kisah kehilangan Choppy ke laman sosial Facebook premis terbabit.

“Kami menyayangi dan merindui Choppy. Secawan minuman akan dihadiahkan sekiranya Choppy dipulangkan semula,” tulis mereka.

Turut dinyatakan dalam posting berkenaan adalah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kes kecurian itu akan didedahkan kepada umum sekiranya Choppy gagal dikembalikan.

Tidak lama selepas itu, Choppy akhirnya ‘pulang’ semula ke tempat asalnya. Satu nota ditemukan bersama ‘haiwan itu yang tertulis permohonan maaf kerana mencuri ‘haiwan’ berkenaan.

Untuk membaca artikel lain berkaitan kes kecurian, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca