Bawa Anak Ke Panggung Wayang, Sesuai Atau Tidak?

Menonton wayang merupakan salah satu aktiviti yang menyeronokkan buat seisi keluarga. Apa yang kita lihat kebanyakan ibu bapa mula membawa anak menonton wayang dan ia telah menjadi salah satu aktiviti luar yang memfokuskan aspek visual.

Namun begitu, ibu bapa harus tahu tahap kesesuaian anak-anak bagi aktiviti luar seperti ini. Anak kecil yang berusia kurang 2 tahun mempunyai telinga kecil dan sensitif terhadap bunyi yang kuat. Secara tidak sengaja, bunyi dentuman panggung itu berpotensi merosakkan gegendang telinga anak anda secara kekal.

Jika kita mendengar bunyi melebihi 85db hingga 90db selama 2 ke 8 jam, ia sangat berisiko buat pendengar dewasa apatah lagi buat anak kecil. Melalui rekod perbandingan bunyi, penyedut hampagas sekitar 70db, perbualan biasa 60db dan gergaji elektrik ialah 110db. Manakala bunyi wayang, ia sangatlah tinggi daripada bunyi-bunyi itu.

Pasti anda selalu dengar, “saya biasa je bawa baby tengok wayang. Ok je tak ada apa-apa pun.” Persoalannya, yang menonton wayang ini aktiviti siapa? Ibu bapa atau bayi?

Aktiviti ini tidak mendatangkan faedah jika anda membawa anak kecil ke pawagam, kerana ia tidak membantu perkembangan atau stimulasi pancaindera mereka. Namun, jika anda membawa mereka ke taman permainan, taman rekreasi, ‘outdoor nature theme park’, pantai, gym kanak-kanak dan mana-mana tempat seperti ini. Ia akan memberi peluang kepada anak anda menggunakan keseluruhan derianya.

Oleh itu, ibu bapa perlu lebih prihatin terhadap keselamatan anak terlebih dahulu sebelum memilih keseronokan pada diri anda semata-mata. Jika anda benar-benar ingin menonton wayang, boleh tinggalkan anak anda kepada penjaga yang dipercayai bagi keselesaan anak anda.

Sumber: Baby Language

Artikel Lain Untuk Di Baca