Baucar Buku RM250 Bakal Dikembalikan Tahun Depan, Itu Janji Maszlee

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berjanji untuk mengembalikan semula Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang berjumlah RM250 kepada mahasiswa pada tahun depan.

Beliau berkata, pada tahun ini, kerajaan hanya mampu untuk memberikan RM100 kepada mahasiswa di bawah skim baharu, Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi ( BPPT) yang menggantikan BB1M. Bayaran BPPT dijangka akan disalurkan pada penghujung bulan Mac melalui kad debit Bank Rakyat.

Kerajaan sebelum ini meluluskan peruntukan RM120 juta bagi program berkenaan yang bertujuan mengurangkan beban pelajar.

“Keadaan kewangan semasa turut menyebabkan kadar bantuan kad buku dikurangkan selain keutamaaan kerajaan untuk menyalurkan lain-lain bantuan kepada golongan miskin.

“Itulah sebahagian hasil perbincangan mengenai perkara itu (kad buku) untuk tahun ini. Saya pohon maaf dan berjanji akan berusaha mendapatkan jumlah yang asal pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam Majlis Sepetang YB Dr. Maszlee Malik bersama warga UMK di Kampus Bachok, petang semalam.

Bantuan Baucar Buku ini bukan hanya meringankan bebanan mahasiswa tetapi ia turut membantu pihak penerbit buku dalam menjana kembali pendapatan industri buku.

Artikel Lain Untuk Di Baca